Tiada keperluan Pas desak percepat PRU15

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A
KOTA BHARU - Tidak ada keperluan yang mendesak bagi Pas ketika ini untuk mengadakan desakan bagi mempercepatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pandangan itu sejajar dengan situasi semasa kerajaan persekutuan dan negeri yang ketika ini bergerak dengan teratur mengikut perlembagaan.

“Presiden Pas pun merasakan bahawa kerajaan yang ada ini perlu menyelesaikan beberapa tugas terutamanya fasa pemulihan pasca Covid-19, pemulihan dari segi kesihatan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Jadi, perlu diberi peluang kepada kerajaan sekarang yang sedang menyelesaikan pasca pemulihan ini.

“Pas berpendapat tidak ada keperluan mendesak ketika ini juga kerana kerajaan persekutuan dan negeri bergerak dengan teratur mengikut perlembagaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1443H Menteri Tenaga dan Sumber Asli di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan di Lembah Sireh, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulangi pendirian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Terengganu pada Jumaat.

Takiyuddin berkata, berdasarkan perlembagaan secara umumnya Parlimen ke-14 mempunyai tempoh sehingga Julai tahun 2023.

“Tempoh ini diambil kira daripada hari pertama Persidangan Parlimen pada tahun 2018 dan bukan daripada tarikh pilihan raya.

“Jadi, pada bila-bila masa sebelum tempoh tersebut Parlimen boleh dibubarkan,” katanya.

Menurutnya, dalam perlembagaan juga menyatakan bahawa Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada kabinet.

“Jadi, apabila Perdana Menteri berpandangan atau berhasrat untuk membubarkan Parlimen, beliau perlu membawa satu usul atau memorandum kepada jemaah kabinet dan jemaah menteri yang memutuskan sesuai atau tidak untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen ke-14 ini dibubarkan.

“Dalam perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan fungsinya di bawah perlembagaan termasuklah bubarkan parlimen mestilah bertindak berdasarkan nasihat daripada jemaah menteri, itu jelas,” katanya.

Ujarnya, dalam pada itu, Pas sentiasa berusaha mengukuhkan parti itu dengan menambahkan cawangan dan bilangan ahli di 197 kawasan di seluruh negara.

“Setiap bulan Pas menerima sebanyak 2,000 ahli baharu di samping cawangan baharu yang akan ditambah lagi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!