Malaysia akan terus hantar bantuan kemanusiaan ke Myanmar
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk Pemerintah Persatuan Nasional (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC) dalam menyelesaikan kebuntuan politik di Myanmar, walaupun dikecam pihak Junta Myanmar.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, tindakan itu adalah selari dengan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN dan melihatkan keperluan untuk melibatkan semua pihak berkepentingan sebagai tanda sokongan moral dan solidariti.
“Tak apalah, itu komen mereka. Sebenarnya, saya jumpa ramai rakyat Myanmar yang mana sebahagian daripada mereka adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang mana mereka memerlukan sokongan moral.
“Dalam keadaan ini, adalah sangat penting untuk kita menunjukkan sokongan moral dan solidariti terhadap perkumpulan semua jenis pertubuhan, baik kumpulan pertubuhan masyarakat sivil (CSO), ahli Parlimen, perkumpulan serantau dan seumpamanya.
“Cuma kita nak tekankan adalah pihak Junta Myanmar telah mengabaikan konsensus 5PC yang dipimpin ASEAN untuk mengakhiri kekerasan dan menyelesaikan krisis yang disepakati pada April tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas bersama Sinar Harian, Bernama, The Star dan Sin Chew Daily yang diadakan di Wisma Putra pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, walaupun salah satu daripada 5PC adalah menggesa agar keganasan ditamatkan, namun statistik menunjukkan sebaliknya.
Menurutnya, dari 1 Februari 2021 sehingga 15 April lalu, sebanyak 10,786 pertempuran bersenjata dan serangan terhadap orang awam dilaporkan, dengan 2,146 orang telah terbunuh manakala 13,282 orang termasuk ahli Parlimen, wartawan dan orang awam ditahan.
Sementara itu katanya, Malaysia akan terus menghantar bantuan kemanusiaan ke Myanmar dan menegaskan perlunya penglibatan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) dan organisasi antarabangsa yang diselia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Penglibatan Pusat AHA dan organisasi antarabangsa yang diselia PBB akan memastikan bantuan kemanusiaan dapat diagihkan dengan lebih berkesan kepada kumpulan sasaran.
“Selain itu, kita mahu negara ASEAN ada ‘ownership’ kepada bantuan kemanusiaan ini supaya NGO yang ada, secara sukarela akan membantu. Kita ada Mercy Malaysia dan kita akan mencadangkan ia diiktiraf sebagai satu daripada NGO dari ASEAN,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!