KKM diminta selesai cara kerja tidak sihat dalam kalangan doktor
GEORGETOWN - Isu waktu kerja yang melampau, kekurangan tenaga kerja dan budaya kerja yang tidak sihat didakwa sudah lama wujud dalam cara kerja di hospital terutamanya melibatkan para doktor.
Lebih membimbangkan, perkara itu seolah-olah dibiarkan dan dijadikan 'budaya biasa' yang tidak dipandang serius oleh pihak berkaitan.
Ketua Biro Kesihatan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pulau Pinang, Dr Lim Yu Xiang berkata, permasalahan itu wajar diselesaikan segera menerusi rundingan dan perbincangan dengan semua pihak yang terlibat.
Menurutnya, sudah tiba masanya Kementerian Kesihatan (KKM) bertindak telus, adil dan segera terhadap isu tersebut.
"Muda Pulau Pinang mendesak penjelasan berhubung kematian doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP).
"Insiden kematian doktor pelatih ini merupakan kes yang amat mengejutkan dan menyedihkan. Kes ini bukan kes pertama dan kita tidak mahu ia terus berlaku selepas ini. Tindakan serta-merta harus diambil untuk mengelakkan kejadian sedemikian berulang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, seorang doktor pelatih HPP dilaporkan maut selepas terjatuh dari kediamannya pada 17 April lalu.
Difahamkan, mangsa terjatuh dari tingkap bilik rumah sewanya di aras 23, sebuah apartmen di Jalan Dato Keramat, di sini.
Mangsa yang berusia 25 tahun itu merupakan graduan daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Tambah Yu Xiang lagi, umum mengetahui doktor pelatih terpaksa bekerja lebih masa iaitu sehingga melebihi 16 jam sehari.
"Dalam mengharungi pandemik Covid-19, ramai doktor bertugas dalam keadaan yang sangat mencabar. Namun demikian, kebajikan doktor pelatih tidak dibela, malah mereka terpaksa berhadapan dengan masalah kontrak kerja yang membawa risiko kehilangan pekerjaan apabila kontrak tidak dilanjutkan.
"Adakah doktor-doktor yang mengorbankan tenaga dan masa terutama semasa wabak Covid-19 ini wajar berhadapan dengan masalah seperti ini?
"Pihak berkuasa harus melakukan siasatan terbuka dan mengenal pasti solusi yang paling bermanfaat kepada semua pihak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!