Emaviwe selamatkan maruah Singapura

Gol kedua Singapura jaringan Emaviwe (jersi 3, terbaring), yang berjaya mengikat kedudukan 2-2 petang tadi. - Foto SEA Sports News
Gol kedua Singapura jaringan Emaviwe (jersi 3, terbaring), yang berjaya mengikat kedudukan 2-2 petang tadi. - Foto SEA Sports News
A
A
A

PEMAIN tinggi lampai skuad bawah 23 tahun Singapura, Jordan Emaviwe menyelamatkan maruah skuad republik berkenaan apabila meledak gol penyamaan pada masa kecederaan bagi mengikat kedudukan 2-2 ketika berdepan Laos pada aksi kejutan apabila menewaskan Singapura 2-1 pada aksi Kumpulan B, Bola Sepak Lelaki Sukan SEA Hanoi, 2021 di Stadium Thien Truong, petang tadi.

Kemasukan Emaviwe pada penghujung perlawanan, nyata membawa tuah buat Singapura apabila pemain berkenaan berjaya menewaskan penjaga benteng pertahanan Laos sebelum menyungkit bola melepasi penjaga gol untuk gol penyamaan berkenaaan.

Aksi petang tadi menyaksikan kedua-dua pasukan bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak ke gawang lawan masing-masing dalam usaha membuka jaringan.

Bagaimanapun Laos lebih dahulu mengejutkan Singapura menerusi jaringan Ekkamai Ratxachak pada minit ke-15.

Ratxachak yang tidak dikawal tenang menerima lorongan rakan sepasukan sebelum merembat melepasi jangkauan penjaga gol Singapura untuk gol sulung perlawanan.

Tersentak dengan gol berkenaan, kesebelasan Singapura bingkas bangkit mengatur asakan ke gawang Laos bagi menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun kesemua asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan Laos sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua menyaksikan Ekkamai sekali lagi berpeluang menjaringkan gol kedua Laos pada minit ke-47, namun rembatannya berjaya ditepis penjaga gol Singapura, Zaiful Nizam.

Bagaimanapun Laos kemudiannya berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Chony Wenpaserth pada minit ke-49.

Chony yang menerima lorongan rakan sepasukan berjaya menewaskan pertahanan Singapura sebelum merembat deras untuk gol kedua Laos.

Ketinggalan dua gol bagaimanapun menyaksikan Singapura tidak menyerah kalah apabila dilihat masih kerap melancarkan asakan ke pintu gol Laos bagi merapatkan jurang gol.

Singapura akhirnya berjaya merapatkan jurang hasil jaringan pada minit ke-88 sebelum Emaviwe muncul wira skuad The Lions itu apabila menjaringkan gol penyamaan pada saat-saat akhir masa kecederaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!