Piala Uber: Jin Wei teruja, harap tuah kali kedua di Bangkok

Goh Jin Wei
Goh Jin Wei
A
A
A

EMPAT tahun lalu, bekas juara junior dunia, Goh Jin Wei membuat penampilan keduanya dalam kejuaraan Piala Uber di Impact Arena di Bangkok.

Meskipun meraih dua mata termasuk mengejutkan He Bingjao dari China dalam peringkat kumpulan pada edisi 2018 itu, ia tidak cukup buat Jin Wei membantu pasukan negara untuk pergi lebih jauh dalam kejohanan tersebut selepas Malaysia gagal melangkah ke suku akhir.

Dan kini pemain nombor 80 dunia itu, yang membuat pusingan-u daripada persaraannya September lepas ekoran masalah kesihatan, berharap agar edisi tahun ini akan memberi tuah kali kedua kepadanya, terutama setelah beliau bermain di venue yang sama sebelum ini.

"Ya, saya sangat teruja dapat kembali ke sini selepas empat tahun sejak kali terakhir beraksi sini dalam Piala Uber,” katanya kepada pemberita usai sesi latihan di sini pada Sabtu.

Jin Wei, yang mempamerkan prestasi membanggakan dalam kemunculan sulungnya selepas kembali daripada persaraan dengan mara ke suku akhir Terbuka Korea bulan lepas, berhasrat untuk menyumbang satu mata setiap kali beliau turun ke gelanggang.

Berdasarkan ranking, Jin Wei akan bermain sebagai perseorangan kedua di belakang perseorangan utama negara S Kisona yang menduduki ranking ke-51 dunia.

Mengulas perlawanan pertama bertemu Denmark esok, pemain berusia 22 tahun dari Pulau Pinang itu berkata beliau telah berpesan kepada rakan sepasukannya supaya tidak terlampau yakin bagi mengelak kekalahan.

"Jangan terlampau yakin atau kita tidak akan bermain dengan baik. Saya rasa kita ada peluang (ke atas Denmark) walaupun bukan pasukan pilihan kita akan berjuang hingga ke saat akhir menentang mereka,” tambahnya.

Sementara itu, M Thinaah yang bergandingan dengan Pearly Tan sebagai beregu wanita kebangsaan utama, bersemangat dan tidak sabar untuk meraih kejayaan dalam penampilan kedua mereka di sini, selepas kemunculan pertama beregu itu di Aarhus, Denmark, Oktober lepas.

Thinaah percaya jika skuad Uber negara memiliki semangat juang yang tinggi, mereka boleh membuat kejutan dengan menundukkan Denmark esok.

"Kami juga sekumpulan dengan tuan rumah Thailand, kedua-dua mereka bukanlah pasukan yang mudah diatasi tetapi saya cuma berharap semua orang akan memberi yang terbaik dalam perlawanan dan berjuang habis-habisan,” katanya.

Selain Denmark dan Thailand, Malaysia turut berdepan Mesir dalam Kumpulan C. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!