Lebih banyak rumah kos rendah bakal dibina di Perak

Paul Yong (dua, kanan) ketika menyempurnakan gimik pelancaran portal e-Hartanah Negeri Perak.
Paul Yong (dua, kanan) ketika menyempurnakan gimik pelancaran portal e-Hartanah Negeri Perak.
A
A
A

IPOH - Pelaksanaan Dasar Perumahan Negeri Perak (DPNP) 2019 yang berkuat kuasa 1 April ini akan membolehkan lebih banyak rumah kos rendah dibina berbanding sebelum ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong berkata, ini kerana dasar merangkumi lapan initipati penambahbaikan itu turut membariskan mekanisme kawalan dan penguatkuasaan terhadap pelaksanaan pembinaan rumah yang memberi jaminan setiap rakyat Perak mampu memiliki kediaman sendiri.

Menurutnya, berdasarkan maklumat Jabatan Perumahan Negara daripada 2013 hingga 2017, hanya 1.24 peratus iaitu 769 unit daripada 61,658 rumah dibina pemaju swasta di negeri ini merupakan rumah kos rendah.

"Dengan jumlah itu sudah pasti kita tidak dapat mencapai sasaran membina sekurang-kurangnya 5,000 rumah kos rendah.

"Atas sebab itu mekanisme kawalan dan penguatkuasaan terhadap pelaksanan rumah mesti diwujudkan dengan harapan dapat membantu meningkatkan kadar peratusan pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana untuk golongan B40 dan M40," katanya selepas menyempurnakan pelancaran portal e-Hartanah Negeri Perak sempena Taklimat Penambahbaikan Dasar Perumahan negeri Perak kepada pemaju-pemaju, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak, Yuhanas Kamaruddin dan Setiausaha Kehormat Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Perak, Ir Loh Ban Ho.

Paul Yong berkata, bukan satu tugas mudah untuk kerajaan menyediakan keperluan rumah kos rendah pada harga RM70,000 kerana melibatkan subsidi dan nilai tanah yang tinggi.

Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu sedaya upaya mencari jalan melaksanakannya demi membantu golongan miskin dan miskin tegar.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh tidak sampai setahun ini, lebih 1,200 unit rumah kos rendah berjaya dibina di seluruh negeri, bagi saya ia jauh lebih baik berbanding hanya 700 lebih yang direkodkan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, penambahbaikan dasar berkenaan dilihat sebagai dasar menang-menang yang mana kerajaan mendengar pandangan semua pihak iaitu rakyat dan pemaju sendiri yang menjadi rakan kongsi dalam membangunkan sektor perumahan.

"Pemaju dikenakan syarat yang fleksibel, jika mereka tidak dapat membina rumah-rumah dibawah Skim Rumah Perakku, maka mereka boleh bayar penalti dan bayaran ini kita disalurkan terus dalam tabung Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) untuk dijadikan dana membina rumah termasuklah rumah kos rendah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!