JDT II ungguli saingan Liga Premier

Pemain JDT II meraikan jaringan ketika berdepan PDRM. Foto: Johor Southern Tigers
Pemain JDT II meraikan jaringan ketika berdepan PDRM. Foto: Johor Southern Tigers
A
A
A

JOHOR Darul Ta’zim II (JDT II) merampas status pendahulu daripada Kelantan FC selepas membenam PDRM FC 5-1 dalam aksi Liga Premier di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor pada Sabtu.

Aksi di separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu tanpa sebarang jaringan, meskipun PDRM dilihat mempunyai peluang cerah untuk mendahului perlawanan.

JDT II memecah kebuntuan selepas berhasil membuat jaringan pada babak kedua perlawanan menerusi pemain import Bienvenido Morejon Maranon pada minit ke-46.

Tidak menunggu lama, giliran Mohamed Syamer Kutty Abba pula menanduk masuk bola pada minit ke-55, sekali gus menambah jaringan buat pasukan kendalian Mariano Raul Echeverria itu.

Serangan tanpa henti JDT II terus menambah derita PDRM, apabila Fernando Rodriguez Ortega menghadiahkan gol ketiga pada minit ke-66 sebelum Gabriel Nistelrooy Tamin selang dua minit kemudian menjadikan kedudukan 4-0.

PDRM yang dilihat tertekan bagaimanapun melepasi pertahanan dan menjaringkan gol menerusi Martin Adamec pada minit ke-72 sebelum JDT sekali lagi menembusi gawang hasil jaringan Maranon pada minit ke-88.

Sementara itu, UiTM FC masih gagal mencipta sebarang kemenangan dalam kancah Liga Premier apabila tewas di tempat sendiri setelah dikalahkan Kuching City FC 0-2.

Pelawat memperoleh gol pada minit ke-24 melalui jaringan Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman.

Kuching terus menguasai padang apabila pemain gantiannya Amir Amri Salleh meledak gol kedua pada saat-saat akhir lima minit masa tambahan perlawanan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!