MHC gesa KKM ambil langkah segera
SHAH ALAM - Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah segera bagi menjamin tempat kerja yang baik di hospital dan klinik kesihatan untuk setiap petugas kesihatan.
MHC dalam satu kenyataan berkata, persekitaran budaya kerja positif amat diperlukan sekali gus menolak aktiviti membuli dan diskriminasi untuk menggalakkan pembelajaran, pembangunan dan peningkatan kualiti modal insan.
"Kami ingin mengingatkan seluruh rakyat Malaysia bahawa petugas kesihatan kita sedang mengalami tekanan yang tinggi semasa pandemik Covid-19.
"Keadaan menjadi semakin buruk disebabkan tekanan sedia ada yang telah wujud sebelum pandemik akibat daripada sistem penjagaan kesihatan awam yang terbeban serta kekurangan kakitangan dan dana.
"Sekiranya tekanan ini tidak ditangani dengan baik, kesejahteraan dan kualiti kerja petugas kesihatan bakal terjejas. Ia akan turut memberi impak kepada penjagaan pesakit," kata kenyataan itu pada Ahad.
Menurut kenyataan itu, pihak MHC memahami petugas kesihatan baharu harus bekerja melebihi tempoh masa purata untuk mempelajari kemahiran dan membina kecekapan.
"Namun, kami menuntut keseimbangan yang menjamin kesejahteraan dan kesihatan mental mereka. Golongan lebih berpengalaman harus mengajar, memberi inspirasi dan motivasi kepada golongan baru tanpa kekasaran.
"Golongan pakar pula bertanggungjawab dalam menjamin tempat kerja yang selamat dan membendung tingkah laku yang bersifat toksik di tempat kerja.
"Para petugas kesihatan mesti dimaklumkan tentang sumber sokongan yang tersedia. Segala maklum balas wajar diterima dan disiasat dengan jaminan keselamatan kepada pengadu. Tempat kerja yang sihat memerlukan komunikasi dua hala dan mengutamakan kebajikan setiap petugas," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang doktor pelatih yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang, awal bulan lepas dipercayai terjatuh dari bangunan dan meninggal dunia pada 17 April lepas.
KKM juga dilaporkan akan menubuhkan pasukan petugas bebas, bagi menyiasat laporan kematian doktor pelatih itu dan dakwaan budaya buli di kemudahan kerajaan.
Kenyataan MHC itu juga menjelaskan menyambut baik penubuhan pasukan khas bagi menyiasat kematian doktor pelatih tersebut.
"Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang yang meninggal dunia baru-baru ini.
"Kami juga menggesa tindakan tegas ke arah budaya kerja yang positif di semua institusi penjagaan kesihatan secara segera. Kita mesti menjaga kebajikan petugas kesihatan yang seterusnya menjaga kesihatan Rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!