Lapan pemandu mabuk antara 12 individu ditahan

Antara individu diperiksa dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di sekitar ibu kota yang bermula pada Jumaat hingga Ahad.
Antara individu diperiksa dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di sekitar ibu kota yang bermula pada Jumaat hingga Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Padah memandu dalam keadaan mabuk, lapan lelaki ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di sekitar ibu kota bermula pada Jumaat hingga Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi dijalankan melibatkan kawasan di sekitar pusat bandar antaranya Jalan Genting Klang, Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Jalan Loke Yew dan Lebuhraya DUKE.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan, 12 individu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk lapan lelaki dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Lapan lelaki dipercayai memandu dibawah pengaruh alkohol berumur antara 23 hingga 47 tahun.

"Selain itu seorang lelaki berumur 18 tahun turut diberkas dipercayai menunggang motosikal curi.

"Operasi sama turut menahan dua lelaki berumur 15 dan 26 tahun atas kesalahan memalsukan nombor pendaftaran dan seorang lelaki berumur 45 tahun atas kesalahan memiliki dadah jenis heroin," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 1,250 jumlah saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 22 buah motosikal dan tiga buah motokar telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan dan ekzos.

"Semua kenderaan yang disita akan diambil tindakan serta pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta diarahkan mengubah ke struktur asal," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!