Liverpool masih buru gelaran 'quadruple'

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah merembat ke pintu gol Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfiled pada Ahad. - Foto EPA
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah merembat ke pintu gol Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfiled pada Ahad. - Foto EPA
A
A
A

BIARPUN sekadar terikat 1-1 ketika berdepan Tottenham Hotspur di Anfield pada Ahad, namun pengendali Liverpool, Jurgen Klopp percaya skuad kendaliannya itu masih mampu memburu kejuaraan quadruple (kejuaraan empat kali ganda), musim ini.

Bagaimanapun Klopp mengakui ‘pemburuan’ berkenaan agak ‘tergugat’ dengan keputusan seri berkenaan.

Jurgen Klopp - Foto EPA
Jurgen Klopp - Foto EPA

Namun katanya, senario itu dilihat tetap memberikan ‘tekanan’ kepada pendahulu ketika ini, Manchester City.

“Sejujurnya, saya tidak gembira dengan keputusan ini tetapi saya tidak bersedih sebagaimana pemain-pemain The Reds ketika ini.

“Apabila anda berdepan dengan pasukan handalan, terutamanya pada saat-saat penentuan, adakalanya ia memang memerlukan sedikit tuah.

“Oleh itu, tugas saya ketika ini adalah untuk memberikan penjelasan kepada mereka bagaimana untuk berdepan dengan situasi seperti ini kerana kebanyakan mereka kelihatan kecewa di bilik persalinan selepas perlawanan,” katanya.

Pada aksi berkenaan Liverpool ketinggalan 0-1 apabila Son Heung-min menjaringkan gol pada minit ke-56 yang membuat ribuan penyokong The Reds terkedu seketika.

Bagaimanapun, Luis Diaz menggamatkan semula Anfiled dengan sorakan penyokong apabila merembat masuk gol penyamaan pada minit ke-74 bagi memastikan kedua-dua pasukan berpuas hati meraih satu mata berharga dan menyaksikan Liverpool masih unggul di puncak EPL dengan kelebihan jaringan biarpun berkongsi 83 mata dengan Manchester City.

Dengan berbaki tiga perlawanan, Liverpool yang sudah pun memenangi Piala Liga, dilihat berada di landasan tepat untuk menempa sejarah dengan memenangi empat kejuaraan semusim apabila turut beraksi di pentas final Piala FA pada 14 Mei depan dan Liga Juara-Juara (29 Mei).

Sementara itu, Klopp berkata, biarpun bersaing hebat dengan Manchester City untuk meraih trofi EPL musim ini, dia tidak pernah mengharapkan skuad kendalian Pep Guardiola itu untuk tewas atau keciciran mata.

Katanya, dia hanya mengingatkan pemain untuk memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan bagi memastikan kemenangan tanpa memikirkan mengenai pasukan lain.

“Kita tak pernah mengharapkan agar City keciciran mata kerana kita hanya mahu memastikan kemenangan dalam setiap perlawanan yang diharungi.

“Kita juga tidak mahu menjadikan kepenatan sebagai alasan utama apabila berdepan kegagalan pada masa akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!