Tempahan katering rumah terbuka mungkin meningkat 10 kali ganda

Katering rumah terbuka daripada Katering Pengkalan Selera. (Gambar kecil: Mohamad Syukri)
Katering rumah terbuka daripada Katering Pengkalan Selera. (Gambar kecil: Mohamad Syukri)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tempahan katering bagi penganjuran rumah terbuka Aidilfitri mungkin meningkat 10 kali ganda berbanding sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

Pengusaha Katering Pengkalan Selera, Mohamad Syukri Mahruz Ali, 38, berkata, dua tahun tidak beraya menyebabkan banyak yang mengambil peluang dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk menganjurkan rumah terbuka.

Menurutnya, sekatan selama dua tahun juga menyebabkan banyak acara tertunda dan ramai yang memilih musim perayaan untuk menganjurkan majlis.

"Setiap hari ada tempahan katering yang perlu disiapkan.

Jumlahnya meningkat pada hujung minggu terutama pada tarikh 14 Mei dan 15 Mei yang menerima tempahan tertinggi.

" Kami mula buka tempahan sejak Ramadan lalu, setakat ini tempahan meningkat tiga kali ganda dan boleh mencecah 10 kali ganda menjelang hujung Syawal memandangkan kami masih membuka tempahan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dia yang sudah 18 tahun menceburi bidang katering berkata, lebih 100 pelanggan membuat tempahan setakat ini melibatkan 5,000 pek makanan yang perlu disiapkan.

"Ada juga yang mengambil peluang untuk melangsungkan majlis pernikahan pada musim perayaan ini.

" Setiap hari saya siapkan tempahan pelanggan sampai tak sempat lagi untuk beraya pulang ke kampung," katanya yang menerima tempahan sekitar Lembah Klang, Bangi dan Putrajaya.

Sementara itu, Pengusaha Pak Dean Lemang Tradisi, Kamariah Yeop, 67, berkata, tidak menang tangan menyiapkan tempahan lemang dan rendang daripada pelanggan yang sanggup beratur hampir 500 meter di gerainya di Hulu Klang sejak minggu akhir Ramadan lalu.

Gerai Pak Dean Lemang Tradisi sesak dengan orang ramai membeli lemang dan rendang. (Gambar kecil: Kamariah)
Gerai Pak Dean Lemang Tradisi sesak dengan orang ramai membeli lemang dan rendang. (Gambar kecil: Kamariah)

Menurutnya, jumlah tempahan akan terus meningkat selepas warga kota mula pulang bekerja dan menganjurkan rumah terbuka.

"Saya jangka minggu depan akan bertambah sibuk apabila agensi kerajaan dan swasta mula buat rumah terbuka. Sudah ada tempahan lemang untuk rumah terbuka untuk minggu depan.

"Setakat ini hampir 10,000 batang buluh habis digunakan untuk bakar lemang dan akan menambah 10,000 buluh lagi untuk stok hingga hujung Syawal," katanya.

Katanya, setiap hari sebanyak 500 hingga 700 lemang dibakar dengan setiap sesi mengambil masa hingga dua jam 30 minit.

Dia akui gembira dengan sambutan yang diterima dan menganggap situasi itu seperti orang melepas geram selepas dua tahun tidak dapat beraya.

"Sejak akhir Ramadan membawa ke pagi Syawal dan hingga kini sibuk berniaga hingga belum sempat untuk cuti raya lagi. Anak-anak turut ambil cuti untuk bantu berniaga.

"Kami hanya berniaga lemang dua kali setahun iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Mungkin lepas dua tahun tak dapat beraya, orang lepas geram dengan beraya sakan tahun ini dengan buat rumah terbuka," katanya.

Lemang Pak Dean sibuk ketika musim perayaan.
Lemang Pak Dean sibuk ketika musim perayaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!