Bomba aktifkan SAR cari lelaki jatuh Sungai Semantan

Anggota bomba melakukan pencarian di kawasan tebing Sungai Semantan sekitar lokasi mangsa dilaporkan terjatuh pada Ahad. - Foto JBPM Pahang
Anggota bomba melakukan pencarian di kawasan tebing Sungai Semantan sekitar lokasi mangsa dilaporkan terjatuh pada Ahad. - Foto JBPM Pahang
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki dipercayai mengalami gangguan mental dilaporkan terjatuh dari Jambatan Kampung Raja, Temerloh ke dalam Sungai Semantan pada Ahad.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, susulan maklumat diterima, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap mangsa berusia dalam lingkungan 30-an itu digerakkan kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, operasi digerakkan dengan kekuatan empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dibantu lima anggota polis dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Operasi pencarian dilakukan di bawah jambatan tempat mangsa dilaporkan terjatuh dan di sekitar tebing Sungai Semantan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, bantuan Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin turut diminta untuk pencarian di kawasan sungai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!