Nasir berjasa bina hubungan baik wartawan Malaysia, Indonesia

Mohamad Nasir
Mohamad Nasir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemergian bekas Pengarang Urusan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohamad Nasir Yusoff hari ini (Ahad), merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan, lebih-lebih lagi jasanya sebagai antara pelopor penubuhan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (Iswami).

Presiden Iswami Malaysia Datuk Mokhtar Hussain berkata, Allahyarham, 62, yang juga bekas Koresponden Bernama di Jakarta, banyak menyumbang ke arah mengeratkan silaturahim wartawan Malaysia dan Indonesia.

"Arwah banyak mengenali dan mewujudkan hubungan dengan rakan media di Indonesia, sekali gus memudahkan kita berinteraksi dengan pihak wartawan negara itu. Malah atas usaha arwah dan beberapa orang lagi, yang membuatkan Iswami mantap sampai sekarang,” katanya ketika dihubungi.

Anak kelahiran Wakaf Bharu, Kelantan itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.48 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), selepas mengadu kepenatan sejurus mendarat dari Miri, Sarawak.

Jenazah ketika ini berada di Jabatan Forensik Hospital Serdang dan dijangka dikebumikan esok pagi di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang.

Presiden Iswami Indonesia Asro Kamal Rokan pula berkata, Allahyarham sangat berjasa dan aktif dalam membina hubungan baik Malaysia dan Indonesia, terutamanya dalam bidang kewartawanan.

"Saya berharap, Hari Wartawan Malaysia (Hawana) pada 28 Mei di Melaka nanti, memberi penghargaan kepada Nasir sebagai tokoh wartawan yang berjasa mempererat hubungan kedua negara,” katanya ketika dihubungi.

Asro Kamal berkata sejak 2010 hingga pandemik Covid-19 melanda, Allahyarham sering menghadiri Hari Pers Nasional (HPN) di Indonesia bersama wartawan Malaysia, dengan kali terakhir Allahyarham hadir HPN 2019 di Surabaya.

Koresponden Antara di Malaysia Agus Setiawan pula berkata, Allahyarham bukan sekadar pengarang di Bernama, tetapi juga pelopor kepada penubuhan Iswami.

"Jumaat lepas masih berkirim salam dan sempat menelefon ajak bertemu sebelum saya meninggalkan Kuala Lumpur. Ternyata Allah SWT berkehendak lain. Semoga Allahyarham memperoleh husnul khatimah,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!