Pelukan terakhir sebelum maut dalam kebakaran

Mohd Shakrisham (tiga dari kiri) sedang ditenteramkan selepas kejadian yang menimpa anaknya.
(Foto ihsan ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz)
Mohd Shakrisham (tiga dari kiri) sedang ditenteramkan selepas kejadian yang menimpa anaknya. (Foto ihsan ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz)
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang bapa tidak menyangka pelukan terhadap anak lelakinya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) sebelum ke tempat kerja adalah yang terakhir apabila anaknya itu maut dalam kebakaran pada pagi Ahad.

Mohd Shakrisham Mohamad berkata, pelukan dan memohon maaf kepada anaknya itu merupakan rutin setiap pagi sebelum ke tempat kerja.

Beliau memberitahu, ketika kejadian, anaknya yang berusia 18 tahun itu tinggal sendirian di rumah manakala dia bekerja di salah sebuah pasar mini berdekatan.

"Saya keluar bekerja pada jam 6.40 pagi dan menutup pintu seperti biasa. Ketika sedang bekerja, ada orang datang beritahu rumah terbakar dan tidak sangka itu rumah saya," katanya sebak.

Tambahnya, anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan malah tetap memeluk dan memohon maaf sebelum masuk tidur pada malam Sabtu.

"Tiada perubahan yang saya nampak pada anak saya.

"Semalam (malam Sabtu) pun, sebelum tidur, dia peluk dan mohon maaf seperti biasa. Saya tidak rasa pelik sebab itu adalah rutinnya," katanya.

Anggota bomba tiba di lokasi dan mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap dan tidak bernyawa. (Foto ihsan ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz)
Anggota bomba tiba di lokasi dan mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap dan tidak bernyawa. (Foto ihsan ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz)

Dalam kejadian pada jam 8.59 pagi itu, seorang lelaki OKU ditemukan meninggal dunia dalam satu kebakaran di Pangsapuri Desa Bayan di sini.

Mayat Muhammad Nur Iqmal Iman Mohd Shakrisham ditemui dalam salah sebuah bilik yang terbakar sehingga 80 peratus.

Difahamkan, mangsa baru sahaja kehilangan ibunya pada Mac lalu akibat kanser.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hazifal Timaradin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.59 pagi.

Menurutnya, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru tiba di lokasi kejadian pada jam 9.06 pagi.

"Kebakaran melibatkan sebuah bilik seluas 9.3 meter persegi di sebuah rumah di tingkat lapan. Ketika tiba, rumah tersebut dalam keadaan berkunci menyebabkan kita terpaksa memecah masuk.

"Selepas kerja pemadaman dilakukan, kita menemui mangsa dalam keadaan tertiarap dan sudah tidak bernyawa. Keadaan mangsa tidak hangus, cuma melecur 10 peratus di bahagian belakang badan.

"Kita percaya, mangsa meninggal dunia kerana lemas terhidu asap. Mangsa merupakan OKU hiperaktif dan ditinggalkan di dalam sebuah bilik ketika bapanya keluar bekerja," katanya.

Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!