Selangor kaji kenaikan tarif air

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM – Cadangan pelarasan tarif air yang disyorkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) disifatkan agak tinggi dengan hampir 50 peratus kenaikan dari kadar sedia ada.

Menteri Besar, Amirudin Shari menjelaskan, kerajaan negeri masih meneliti semua faktor bagi memastikan sebarang pelarasan tarif yang akan dipersetujui kelak lebih munasabah.

“Pembaharuan yang dibuat nanti perlu memastikan pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah tidak terjejas, selain memberi insentif bagi menggalakkan penggunaan air yang lebih bijak.

“Ini kerana tarif air yang dikenakan ketika ini mengguna pakai kadar yang diluluskan pada 2006 lalu berdasarkan Perjanjian Konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas),” katanya.

Mengulas lanjut katanya, jika kerajaan negeri tidak diambil alih PH pada 2008, tidak mustahil pelaksanaan kenaikan tarif pada 1 Januari 2018 lalu dikenakan dengan kadar purata sebanyak RM3.15 berbanding RM1.39 ketika ini.

“Dengan mengambil kira lima kali kenaikan tarif seperti di dalam Perjanjian Konsesi Syabas, rakyat akan dibebani dengan kadar tarif sebanyak 227 peratus lebih tinggi berbanding kadar sedia ada,” katanya.

Amirudin (PKR-Sungai Tua) berkata, kerajaan negeri juga membuat penjajaran semula pemberian air percuma ini bagi memastikan penyaluran subsidi yang lebih fokus kepada golongan sasar.

“Bagaimanapun, penjajaran pemberian air percuma khusus kepada golongan sasar masih lagi di peringkat semakan kerana perlu dilihat bersekali dengan program insentif peduli rakyat (IPR).

Artikel Berkaitan:

“Bilangan keluarga yang layak juga masih belum dapat diputuskan dan kerajaan negeri tidak akan meminggirkan penerima yang layak,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor.

Subsidi air percuma bagi 20 meter padu bersamaan dengan nilai sebanyak RM11.40. Melalui penjajaran semula ini, pemberian air percuma akan dinaikkan kepada 25meter padu bersamaan dengan RM16.55 sebulan.

Peningkatan ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah dalam kategori B40 dan golongan M40 di Selangor terdiri dari rakyat berpendapatan bulanan dalam lingkungan RM6,180 hingga RM12,469.

Kerajaan Negeri berpandangan golongan M40 ini berkemampuan untuk membiayai bayaran RM11.40 untuk penggunaan air sebanyak 20 meter padu sebulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!