Usul bahas ICERD ditarik lebih awal
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, surat rasmi berkenaan penarikan semula usul itu dibuat sebelum Sidang Dun bermula sebaik kerajaan Pusat menyatakan pendirian mengenainya.
“Saya ada menulis surat usul penolakan ICERD ini dibahaskan dalam Sidang Dun Negeri, namun bila PM (Pejabat Perdana Menteri) sudah menyatakan pendirian sedemikian, saya pun berpendapat tidak perlulah dibahaskan lagi kerana apa juga pendirian Pusat, itulah juga pendirian kerajaan negeri.
“Saya tarik semula usul ini melalui satu surat yang dihantar kepada Pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya pada Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak 2018 di Dewan Bankuet Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Meru, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar mengenai penolakan usul terbabit oleh Speaker Dun Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, semalam.
Penolakan usul dibawa Adun Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Ahmad Faizal selaku Adun Chenderiang itu dibuat atas dua alasan berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan keputusan yang diumumkan Kerajaan Persekutuan.
Ahmad Faizal berkata, kemungkinan berlaku masalah teknikal yang menyebabkan kekeliruan dalam teks yang disediakan untuk Speaker.
“Tidak ada isu pun mengenai penolakan usul ini, saya sendiri menarik balik usul berkenaan sebelum Sidang Dewan bermula,” katanya.
Perkara itu turut menarik perhatian Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mempersoalkan jika DAP lebih berkuasa daripada menteri besar apabila usul yang dibawa ketua kerajaan negeri pun ditolak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!