Bapa gendong anak naik motosikal dibantu polis peronda
RAWANG - Seorang bapa nekad menempuh perjalanan hampir tiga jam dari Batu Gajah, Perak ke Kuala Lumpur dengan menunggang motosikal bersama seorang anak yang dikendong dengan ikatan kain pelikat.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi kemas kini di Facebook berkata, bapa dan anak berusia sembilan tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Flat Selayang, Jalan Chow Kit 4, Kuala Lumpur selepas pulang beraya dari kampung.
Menurut kenyataan itu, dua beranak itu ditahan polis peronda yang melaksanakan penugasan rondaan di Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) sekitar jam 4 petang, Sabtu di Rawang.
"Koperal Mohamad Fitdros Saman bersama Koperal Nazruddin Syazwan Mat Nanyan telah ternampak seorang penunggang motosikal dalam keadaan mengendong anak dengan ikatan kain pelikat di tubuh badan kanak-kanak tersebut di KM435.1 (arah selatan).
"Melihat situasi tersebut, mereka telah berhenti dan bertanyakan apa yang boleh dibantu dan semakan mendapati kanak-kanak lelaki yang dikendong itu adalah anak kandungnya berumur sembilan tahun," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah kenyataan itu, anggota peronda berkenaan menjelaskan tindakan yang dilakukan oleh si bapa berbahaya dan mendatangkan risiko.
"Atas faktor keselamatan, mereka menghubungi Pegawai Turus Lebuhraya Zon Tengah A bagi membawa dan menghantar kanak-kanak lelaki tersebut sambil diiringi ayahnya ke kediaman mereka.
"Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman menasihatkan pengguna lebuh raya lebih peka dengan soal keselamatan dan berhati-hati semasa pemanduan di musim perayaan," kata kenyataan itu.
Perkongsian tersebut mendapat maklum balas positif daripada orang awam yang meninggalkan komen pada entri tersebut antaranya pemilik akaun, Hatimin Ttr yang memuji tindakan dua anggota peronda berkenaan.
"Alhamdulillah di sebalik ketegasan ketika menjalankan tugas namun tersembunyi sifat mulia dan kasih sayang kepada sesama insan.
Ini sebenarnya yang ada dalam diri sesetengah anggota polis trafik walaupun mereka nampak tegas dan garang sebenarnya mereka adalah insan baik hati dan sentiasa bersiap sedia membantu orang awam dalam kesusahan.
"Sungguh mulia hati anggota polis trafik ini, kebaikan kalian hanya ALLAH SWT saja yang mampu membalasnya. Polis dan masyarakat berpisah tiada," tulisnya.
Seorang lagi pengguna akaun Facebook, Wan Paiman telah berkongsi pengalaman sama apabila pernah membonceng motosikal bersama ayahnya.
"Saya dulu macam ini tapi ayah saya ikut jalan lama kerana boleh berhenti di masjid dan kami tak gunakan lebuh raya.
"Kadang-kadang ayah saya tempah tiket kereta api sebab walaupun kami miskin, ada Honda 70 (motosikal) tapi kami tahu bahaya," kongsinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!