Polis tahan pemandu kedua bas ekspres disyaki cabul penumpang
MELAKA - Polis menahan pemandu kedua sebuah bas ekspres yang disyaki mencabul seorang penumpang wanita berusia 21 tahun yang sedang tidur ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Kelantan ke negeri ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Melaka, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sejurus selepas bas ekspres berkenaan tiba di Terminal Melaka Sentral di sini, kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad.
"Mangsa yang juga penuntut maktab perguruan di negeri ini mendakwa diraba oleh suspek semasa bas ekspres itu berhenti rehat di Ajil, Hulu Terengganu kira-kira pukul 4 pagi.
"Berdasarkan maklumat itu, pihak polis terus menahan pemandu kedua yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu, sebaik sahaja bas tiba di Melaka Sentral,” katanya kepada media pada Ahad.
Beliau berkata wanita itu telah membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah pada pukul 12 tengah hari tadi, dan kes akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.
Sementara itu Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh dalam hantaran di Facebook rasminya menggesa golongan wanita agar tidak berdiam diri apabila menjadi mangsa cabul, terutama ketika menggunakan pengangkutan awam.
Beliau membuat kenyataan itu menerusi satu video berdurasi tiga minit 41 saat di Facebook, selepas menerima pesanan di akaun media sosial berkenaan bagi meminta bantuan berkaitan kejadian itu.
"Pagi tadi ketika bangun Subuh saya terima pesanan mesej daripada sahabat di Facebook berhubung kejadian yang menimpa rakannya yang ingin pulang semula ke Melaka.
"Adik (mangsa) ini terlalu baik sehingga dia hendak menjerit pun takut, dan dia hanya mampu menangis teresak-esak.
Saya bersama beberapa rakan yang tunggu di Melaka untuk bantu selamatkan gadis ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!