Lelaki Pakistan buat laporan palsu dakwa disamun
KUALA LUMPUR - Polis menafikan dakwaan seorang lelaki warga Pakistan yang mengatakan dirinya serta teman wanitanya menjadi mangsa samun sekumpulan individu tempatan berhampiran sebuah kelab malam di Jalan Telawi 3 Bangsar di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, lelaki berkenaan bukan sahaja bertindak membuat laporan palsu malah menuduh pihak polis menarik balik laporan yang telah dibuat.
Menurutnya, siasatan polis dijalankan berdasarkan hantaran yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Twitter mengenai situasi yang berlaku terhadap pasangan kekasih tersebut.
"Siasatan mendapati suspek berumur 22 tahun membuat laporan mendakwa menjadi mangsa samun sekumpulan lelaki kira-kira dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi ketika suspek sedang merokok di kawasan rumah kedai di lokasi kejadian.
"Suspek turut mendakwa dipukul selain kehilangan pelbagai barangan peribadi antaranya sebentuk cincin perak, rantai leher emas,telefon bimbit dan wang tunai, suspek mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM6,000," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, siasatan kemudian dijalankan dengan menjalankan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
"Siasatan berdasarkan rakaman mendapati tiada sebarang kejadian samun atau pertengkaran sepertimana yang dinyatakan oleh suspek di dalam laporan polis yang dibuat.
"Rakaman CCTV juga menunjukkan suspek bersama dua perempuan sedang menyeberang jalan dari hadapan Hong Leong Bank di Jalan Telawi ke tempat letak kereta dalam keadaan tenang dan tidak tergesa-gesa," katanya.
Menurutnya, keterangan awal suspek kepada polis pula didapati ada keraguan dan tidak konsisten.
"Berdasarkan keterangan saksi, wujud kehadiran polis menyuraikan beberapa pelanggan yang menjerit-jerit kerana mabuk di kelab yang dikunjungi oleh suspek pada hari kejadian.
"Namun, CCTV tidak memaparkan sebarang kejadian samun atau pertengkaran yang melibatkan suspek dan teman wanitanya di lokasi kejadian dan dalam kes ini didapati suspek telah membuat laporan palsu," katanya.
Ujar Amihizam, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan tuduh suspek di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat laporan polis palsu kerana boleh disabitkan dengan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Kenyataan mengenai layanan polis ke atas suspek serta dakwaan polis meminta suspek menarik semula laporan yang dibuat adalah tidak benar, sebarang spekulasi berkaitan kenyataan tular di laman Twitter ini hendaklah dihentikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!