Isu doktor pelatih dibuli perlu diberi perhatian

Berdasarkan siri laporan pelbagai media, hasil pengakuan beberapa doktor sendiri, ternyata budaya buli dan kerja toksik juga berlaku dalam kalangan profesional termasuk doktor. - Gambar hiasan
Berdasarkan siri laporan pelbagai media, hasil pengakuan beberapa doktor sendiri, ternyata budaya buli dan kerja toksik juga berlaku dalam kalangan profesional termasuk doktor. - Gambar hiasan
A
A
A

BILA media melaporkan kes seorang doktor pelatih maut selepas ditemui terjatuh dari tingkat 23 pangsapuri kediamannya, ramai yang pada awalnya mengambil mudah. Ada yang berpendapat ia sekadar kes terpencil.

Tetapi apabila sudah ada kejadian membabitkan doktor pelatih cuba membunuh diri akibat tekanan, ternyata ada sesuatu yang tidak kena dan perlu diberi perhatian serius.

Budaya buli dan budaya kerja toksik ternyata bukan hanya berlaku dalam kalangan peringkat pekerja bawahan atau buruh.

Berdasarkan siri laporan pelbagai media, hasil pengakuan beberapa doktor sendiri, ternyata budaya buli dan kerja toksik juga berlaku dalam kalangan profesional termasuk doktor.

Jika dalam kes pembantu rumah, majikan kejam mungkin akan memukul amah, tetapi dalam kes pekerja profesional, ia melibatkan penderaan mental dan emosi.

Lebih buruk, beberapa doktor pelatih mengakui pernah berdepan gangguan seksual oleh doktor atau pegawai perubatan. Tidak cukup dengan itu, ramai yang mengakui letih dan tertekan apabila dipaksa bekerja dalam tempoh yang panjang.

Bekerja untuk 18 jam sehari secara berturut-turut adalah perkara biasa. Seorang doktor pelatih pernah berkongsi pengalaman, dia perlu bekerja untuk tempoh 48 jam dengan waktu rehat beberapa jam sahaja sehingga dia terpaksa tidur di meja kerja di hospital.

Apatah lagi ada bekas doktor pelatih yang mengakui Hospital Pulau Pinang terkenal dengan budaya buli dan biasanya digeruni oleh ramai doktor pelatih.

“Saya pernah diminta pergi menoreh getah, manakala orang Melayu disuruh kembali ke sawah. Saya tertekan. Kami dipaksa bekerja 18 jam berturut-turut.

“Ada yang teruk terjejas mendapatkan bantuan psikiatri, mereka dipersendakan dan dilabel sebagai gila,” dakwa bekas doktor pelatih itu.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan dan pentadbiran Hospital Pulau Pinang tidak wajar mengambil ringan insiden buli ini.

Kerjaya sebagai doktor adalah profesion murni. Janganlah budaya buli ini menyebabkan ibu bapa tidak lagi menggalakkan anak kecil mereka menjadi doktor apabila dewasa nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!