Aaron-Wooi Yik sudah sedia realisasikan misi wajib menang: Rexy
GANDINGAN beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah bersedia untuk merealisasikan misi wajib menang ketika berdepan England pada aksi Kumpulan D Piala Thomas 2022 di Impact Arena, Bangkok pada Isnin.
Menurut Pengarah Kejurulatihan (Beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, gandingan itu juga bersemangat untuk mencatatkan kemenangan seterusnya memberikan mata buat skuad negara.
“Aaron-Wooi Yik sudah bersedia untuk beraksi esok (Isnin), malah mereka juga dilihat bersemangat.
“Berdasarkan rekod, gandingan Aaron-Wooi Yik juga telah beberapa kali mencatatkan kemenangan dengan gandingan England sebelum ini.
“Bagaimanapun, pada saya apa yang lebih penting adalah aksi dipamerkan di gelanggang kerana hanya aksi di gelanggang yang akan memastikan kemenangan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Sementara itu, Aaron berkata, aksi berdepan England penting buat skuad negara pada temasya kali ini.
Justeru katanya, beliau dan Wooi Yik akan cuba melakukan yang terbaik bagi merealisasikan kemenangan pada aksi sulung Kumpulan D tersebut.
“Perlawanan dengan England ini agak penting bagi kita. Oleh itu, semua pemain kena buat yang terbaik dan memastikan kemenangan berpihak kepada kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!