Cerita Muafakat Nasional sudah sampai tahap muak

Kisah MN dalam setahun ini bagi Merak Jalanan memang sudah sampai tahap muak dan retorik belaka.
Kisah MN dalam setahun ini bagi Merak Jalanan memang sudah sampai tahap muak dan retorik belaka.
A
A
A

MUSIM raya ini, bila semua rumah hidangkan rendang dan ketupat, kadang-kadang muak juga selepas masuk hari ketiga dan seterusnya. Mulalah Merak Jalanan mencari nasi tomato, nasi kandar atau laksa.

Ramai juga yang tidak kisah beratur panjang di kedai makanan segera untuk mencari kelainan sajian musim raya. Begitu juga dalam politik.

Bila hari-hari kita baca dan dihidangkan kisah Muafakat Nasional (MN) yang tidak ke mana, rasa muak juga. Baik sebelah UMNO atau Pas, macam-macam cerita yang disampaikan.

Tapi Merak Jalanan percaya, semua pemimpin asyik main tarik tali. Kalau di satu kumpulan yang bernada keras, mereka akan cakap MN sudah terkubur, MN tiada harapan lagi dan MN sudah di hujung tanduk.

Tapi bagi kumpulan yang masih mengharapkan sisa panjang umur MN pula akan berkata, MN masih boleh diselamatkan, masih belum ada batu nisan atau satu-satunya harapan ummah.

Kisah MN dalam setahun ini bagi Merak Jalanan memang sudah sampai tahap muak dan retorik belaka.

Walaupun tujuan dan misi awal MN sangat baik demi kelangsungan dan penyatuan ummah, tapi apabila ia dicampur aduk dengan agenda politik, maka tujuan asal sudah tersasar.

Tapi yang menyedihkan, sudah tentulah rakyat dan umat Islam yang sama-sama dulu berarak di jalanan di tengah kota untuk memperjuangkan nasib ummah pada tahun 2019 dan meletakkan harapan tinggi kepada pemimpin politik.

Ternyata meletakkan harapan tinggi kepada pemimpin politik tidak seindah yang diharapkan. Dua tiga tahun lalu boleh sepentas berpelukan, tapi hari ini saling mengeji dan mengutuk.

Tapi itulah politik. Orang politik perlu bijak berhujah dan berkata-kata, perlu pandai atur strategi dan mempengaruhi untuk menang.

Terserah kepada kita sebagai rakyat untuk berfikir dan menilai setiap tingkah laku mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!