Lelaki maut semasa memancing
GOMBAK - Seorang lelaki yang keluar memancing bersama rakannya ditemui dalam keadaan terapung dan tidak sedarkan diri di Sungai Sempit, Kampung Orang Asli Batu 16 di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, mangsa yang bekerja sebagai pendawai elektrik merupakan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dan ke kawasan tersebut untuk memancing sekitar jam 8 pagi.
Menurutnya, ketika kejadian, rakan mangsa memancing di bahagian atas sungai tersebut manakala mangsa ke bahagian bawah Sungai Sempit berhampiran Lubuk Jepun sebelum didapati hilang sekitar jam 9 pagi.
"Pada jam lebih kurang 9 pagi rakan mangsa turun ke bahagian bawah sungai dan memanggil nama mangsa namun tiada maklumbalas.
"Rakan mangsa berusaha mencarinya namun menjadi panik apabila menemui rakannya itu dalam keadaan terapung.
Pada awalnya rakan mangsa beranggapan sahabatnya itu sedang menyelam berikutan keadaan mukanya berada di dalam air.
"Setelah menyedari sesuatu yang buruk berlaku, rakan mangsa bertindak terjun ke dalam sungai dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa sudah tidak bernyawa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, rakan mangsa menghubungi talian kecemasan MERS 999 sekitar jam 10.10 pagi untuk meminta bantuan.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan dijalankan.
"Hasil pemeriksaan fizikal pada badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada dahi sebelah kiri namun tiada kecederaan lain.
"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Heirme Che Mat di talian 014-2389151 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!