Rakyat Filipina mula mengundi
MANILA - Kira-kira 65.7 juta pengundi berdaftar di Filipina mula mengundi untuk memilih presiden dan kira-kira 18,000 pegawai kerajaan yang lain, lapor Xinhua.
Sejumlah 37,211 pusat mengundi di seluruh negara dibuka 6 pagi waktu tempatan (2200 GMT Ahad) dan akan ditutup pada 7 malam waktu tempatan (1100 GMT).
Pengundi turut akan memilih naib presiden, 12 senator, lebih 300 ahli Dewan Rakyat dan lebih 17,000 pegawai tempatan.
Calon presiden dan bekas Senator Ferdinand Marcos Jr., 64, anak kepada bekas Presiden Ferdinand Marcos, mengundi di Sekolah Rendah Mariano Marcos Memorial di Batac City, di wilayah Ilocos Norte.
Pencabarnya yang juga penyandang Naib Presiden, Maria Leonor Robredo, 57, mengundi di kampung halamannya di bandar Naga wilayah Bocol.
Selain Marcos dan Robredo, ada lapan lagi calon yang bersaing untuk merebut jawatan presiden termasuk ikon tinju, senator Emmanuel Pacquiao, 43, Datuk Bandar Manila dan bekas pelakon Francisco Domagoso, 47, dan bekas ketua polis negara senator Panfilo Lacson, 73.
Datuk Bandar Davao City, Sara Duterte-Carpio, 43, anak perempuan Presiden Rodrigo Duterte mengetuai perlumbaan untuk jawatan naib presiden.
Pemangku jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina, John Rex Laudiangco berkata keadaan setakat ini terkawal. Lebih banyak pasukan keselamatan dihantar ke kawasan itu.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina, George Garcia berkata, tarikh untuk pengisytiharan presiden dan naib presiden masih belum ditetapkan namun, keputusan awal dijangka dapat dikeluarkan sebelum Kongres bersidang.
Kerajaan telah menugaskan 45,000 tentera dan 60,000 polis untuk memastikan pilihan raya berjalan lancar. Selain itu seramai 12,000 lagi anggota keselamatan telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Sebelum ini, pemangku ketua Polis Negara, Jeneral Vicente Danao memberi amaran polis akan menggunakan "kuasa undang-undang" ke atas kumpulan yang merancang untuk mengganggu proses pilihan raya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!