'Kami bukan proksi'
KOTA KINABALU - Calon Timbalan Presiden dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan sekeras-kerasnya bahawa pemilihan antara beliau dengan Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden sebagai pertarungan proksi.
Beliau menjelaskan perjalanan kempen pemilihan parti berlangsung dengan harmoni dan calon mengambil peluang memperkenalkan diri.
"Ini sekali gus menolak tanggapan setengah pihak bahawa pemilihan khususnya untuk jawatan Timbalan Presiden anara saya dan Rafizi ialah pertarungan proksi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Muhibah Aidilfitri 2022 anjuran PKR Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada malam Ahad.
Hadir sama, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Naib Presiden PKR Tian Chua.
Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR memaklumkan, beliau dan Rafizi akan memberikan perspektif mereka dalam politik menerusi sebuah program yang akan diadakan di pejabat Sinar Harian pada 11 Mei ini.
"Program yang dianjurkan Sinar Harian ini akan memberi peluang kepada saya dan Rafizi sebagai panel, apa pun tajuk saya anggap itu sekadar tajuk.
"Jadi saya anggap itu sebagai kesempatan yang terbaik bukan dalam konteks perdebatan saling menyerang tetapi adalah satu platform untuk kami menyampaikan perspektif kami tentang pemilihan parti dan isu politik semasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!