Rumah dua tingkat terbakar
TANJONG KARANG - Sebuah rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran di Lorong 2 Sungai Kajang Lama di sini pada Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.12 pagi.
Menurutnya, seramai 24 anggota dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Sekinchan dan Sungai Besar bersama jentera masing-masing dikejarkan ke tempat kejadian.
"Sejurus tiba di tempat kejadian mendapati kebakaran membabitkan rumah dua tingkat berkeluasan 60 X 30 kaki persegi bangunan kelas B," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Norazam berkata, operasi pemadaman masih sedang dijalankan pasukan bomba dengan anggaran kemusnahan 50 peratus.
Kata beliau, kebakaran disedari lima penghuni yang berada di dalam rumah itu dan kemudian bertindak menyelamatkan diri.
"Bagaimanapun, tiada mangsa mengalami kecederaan dan punca sebenar kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!