Sidang Kemuncak Khas pertingkat perkongsian Asean-AS

Ismail Sabri akan menghadiri sidang kemuncak khas Asean-AS yang diadakan sempena ulang tahun ke-45 Hubungan Dialog Asean-AS.
Ismail Sabri akan menghadiri sidang kemuncak khas Asean-AS yang diadakan sempena ulang tahun ke-45 Hubungan Dialog Asean-AS.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sidang Kemuncak Khas Asean-Amerika Syarikat (AS) yang akan diadakan di Washington D.C. dari 12 hingga 13 Mei, dijangka mengeluarkan Kenyataan Visi Bersama yang menggariskan komitmen dan aspirasi untuk meningkatkan kerjasama Asean-Amerika Syarikat.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan mempertingkatkan perkongsian Asean-AS adalah demi kepentingan keamanan, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran yang berkekalan untuk semua.

Sidang kemuncak khas itu juga menjadi landasan strategik bagi Asean dan AS mengkaji serta meneroka bidang kerjasama pragmatik bagi memperkukuh kerjasama sedia ada.

"Antara agenda perbincangan dalam sidang kemuncak khas itu merangkumi isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, kerjasama ekonomi, Covid-19 dan keselamatan kesihatan, perubahan iklim serta tenaga bersih,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadiri sidang kemuncak khas itu yang diadakan sempena ulang tahun ke-45 Hubungan Dialog Asean-AS.

Ismail Sabri akan mengetuai delegasi Malaysia diiringi Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Semasa sidang kemuncak itu, Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin Asean lain dijadualkan menyertai beberapa siri mesyuarat dan perbincangan dengan Presiden Joe Biden dan Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris.

"Program lain yang diaturkan pihak AS termasuk sesi bersama Kepimpinan Kongres AS dan beberapa anggota Kabinet AS serta sesi bersama pemimpin perniagaan AS.

Semasa di Washington D.C., Ismail Sabri juga dijadualkan menghadiri sambutan Hari Raya Keluarga Malaysia dan bertemu dengan diaspora Malaysia.

Saifuddin dalam temu bual dengan media pada Sabtu berkata perdana menteri dijangka mengutarakan beberapa isu serantau seperti Myanmar dan isu-isu antarabangsa lain dalam persidangan itu.

Selain Presiden Fiilipina, Rodrigo Duterte dan ketua junta Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hliang, kesemua lapan lagi ketua kerajaan negara-negara Asean akan menyertai sidang kemuncak khas itu.

Duterte tidak dapat hadir kerana proses pilihan raya di Filipina manakala ketua junta tidak diundang berikutan pergolakan politik dalaman di Myanmar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!