Lelaki Bangladesh dijel 10 tahun toreh muka kekasih

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki warga Bangladesh yang dituduh menoreh muka bekas kekasihnya bulan lepas, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman itu setelah Saidol Islam, 22, mengekalkan pengakuan bersalahnya selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan semula dalam Bahasa Inggeris.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 7 Februari lepas.

Saidol Islam didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Nur Zawati Zainal Abidin, 24, dengan mencederakan muka mangsa menggunakan pisau di Tropicana City Mall pada 6.30 petang, 7 Februari lepas. Dia dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy'ari Kamaruzaman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh mengambil kira faktor kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami parut kekal pada wajahnya.

Bagaimanapun, peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili Saidol Islam memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga di negara asalnya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pernah menjadi teman lelaki mangsa namun wanita itu terpaksa memutuskan hubungan itu kerana tidak tahan dengan sikapnya yang panas baran malah sering memukulnya.

Ketika kejadian, Saidol Islam telah mengekori mangsa dan bertindak mengeluarkan pisau berukuran sembilan inci sebelum mengelar muka wanita itu.

Artikel Berkaitan:

Dia kemudian melarikan diri dan mangsa yang kesakitan menghubungi rakannya bagi mendapatkan bantuan sebelum dibawa ke Hospital KPJ Damansara dan dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat pendarahan teruk.

Akibat kejadian itu, mangsa yang masih lagi dirawat sehingga kini menerima 50 jahitan akibat koyakan pada pipi kanan sehingga kiri muka melalui atas bibir.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!