Perhalusi perancangan Bandar Pintar Johor menjelang 2030: Onn Hafiz

Onn Hafiz (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat SPC Negeri Johor kali pertama tahun 2022 di sini, pada Isnin.
Onn Hafiz (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat SPC Negeri Johor kali pertama tahun 2022 di sini, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri sedang memperhalusi kesemua perancangan dan idea bagi merealisasikan pembangunan Bandar Pintar Johor menjelang tahun 2030.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu juga adalah sebagai langkah produktif bagi mengutamakan pembangunan lebih holistik negeri ini.

Beliau berkata, perkara paling utama adalah bagaimana di peringkat perancangan itu dilaksana dan kerajaan negeri dapat percepatkan urusan berkaitan dengan pertimbangan pelan-pelan pemajuan sekali gus merancakkan semula ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.

“Antara dibincangkan adalah pelan biru Bandar Pintar Negeri Johor 2030. Saya berharap ia dapat memperkasakan agenda Bandar Pintar Negeri Johor serta mempersiapkan semua bandar di negeri ini menjelang tahun 2030.

“Sebanyak tujuh komponen bandar pintar yang telah digariskan, iaitu Smart Government, Smart People, Smart Economy, Smart Living, Smart Mobility, Smart Environment dan Smart Digital Infrastructure,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) kali pertama pada tahun ini, di sini, pada Isnin.

Onn Hafiz berkata, kesemua komponen itu juga akan menjadi panduan bagi kerajaan negeri Johor untuk bersiap sedia menghadapi era baharu sebagai negeri maju.

“Kesiapsiagaan bukan sahaja mengenai keperluan penyediaan kemudahan dan teknologi tinggi, malah ia juga perlu merangkumi aspek pembangunan modal insan yang berkemahiran dan berpengetahuan.

“Semoga segala perancangan ini dapat kita laksanakan dengan baik. Sama-samalah kita doakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!