'Muafakat mesti saling menyokong'
IPOH - Muafakat Nasional (MN) hanya akan bertahan jika parti-parti yang berada di dalamnya saling sokong menyokong antara satu sama lain.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang bentuk permuafakatan mesti saling menguatkan antara satu sama lain dan bukan melemahkan rakan-rakan.
Menurutnya, jika perkara itu tidak dapat dipenuhi maka tidak ada lagi keperluan untuk bersama kerana sebarang pertelingkahan akan melemahkan parti masing-masing.
"Seperti biasa, selalu saya berpegang muafakat ini mestilah saling sokong menyokong antara satu sama lain dan bukan saling merebut kerusi dan kemudian melemahkan antara satu sama lain.
"Jadi asas kepada apa-apa muafakat mesti saling sokong menyokong dan saling kuat menguatkan antara satu sama lain.
"Tapi kalau tidak boleh buat, contohnya tentang berebut kerusi kawasan dan pertelingkahan, itu menyebabkan kedua-duanya akan menjadi lemah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Ruji Ubi; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Exco-Exco kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai masa depan MN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada 7 Mei lalu, Pengerusi Barisan Nasional itu menjelaskan bahawa kerjasama UMNO dan Pas melalui MN perlu dilupakan kerana parti tersebut telah beberapa kali memberi ruang secukupnya kepada Pas untuk mempersetujui perkara terkandung di dalam piagam MN namun tidak disepakati.
Himpunan Penyatuan Ummah Piagam MN yang dimeterai UMNO dan Pas pada 14 September 2019 antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam serta Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!