Op Selamat 18: Johor catat penurunan kes kemalangan

Foto hiasan. (Gambar Kecil: Kumarasan)
Foto hiasan. (Gambar Kecil: Kumarasan)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah kes kemalangan jalan raya di negeri ini mencatatkan penurunan yang memberansangkan sepanjang pelaksanaan Op Selamat 18 selama 10 hari sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superitendan M Kumarasan berkata, jumlah itu menyaksikan penurunan sebanyak 186 kes kemalangan membabitkan 2,302 kes berbanding 2,488 kes pada tahun 2019.

“Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini lebih istimewa berbanding sebelum ini selepas dua tahun orang ramai tidak dapat meraikannya ekoran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Pada pelaksanaan Op Selamat Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kita dapat menyaksikan jumlah kemalangan maut turut mencatatkan penurunan dua kes daripada 20 kes berbanding 22 kes pada tahun 2019.

“Selain itu, jumlah kematian yang melibatkan kemalangan maut turut berkurangan kepada empat kes berbanding jumlah keseluruhan 24 kematian pada Op Selamat 15 dua tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Op Selamat 18 sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 secara rasminya menutup tirai pada tengah malam Ahad selepas 10 hari dilancarkan secara serentak di seluruh negara bermula 29 April sehingga 08 Mei 2022.

Kumarasan berkata, bagi prestasi operasi dan tangkapan JSPT Johor, sebanyak 62 tangkapan telah berjaya dibuat melibatkan pelbagai kesalahan jalan raya dan jenayah.

“Siri tangkapan yang berjaya dilakukan ini melibatkan 52 kes di bawah Akta Pengangkutan Jalan, empat kes di bawah Kanun Keseksaan dan enam kes di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB).

“Bagi pengeluaran saman pula, terdapat peningkatan ketara dengan 39,235 saman berbanding 21,016 saman pada Op Selamat 15 tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan paling tinggi dikesan adalah memandu melebihi had laju dengan 26,520 saman dikeluarkan dan memotong barisan 1,884 saman.

“Ini merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan hasil siri operasi terancang yang dijalankan melalui pendekatan ‘aggressive policing’ dan konsep ‘total enforcement’ oleh JSPT Johor.

“Selain itu tiada berlaku kesesakan yang luar biasa di laluan-laluan utama hasil usaha anggota JSPT dalam menyuraikan kesesakan trafik melalui penugasan Op Lancar bagi fasa sebelum dan selepas raya,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!