Selamba balik kampung tanpa lesen memandu

Adenan (tengah) menunjukkan lesen palsu yang digunakan seorang penunggang motosikal.
Adenan (tengah) menunjukkan lesen palsu yang digunakan seorang penunggang motosikal.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Biarpun tiada lesen, namun masih ramai yang berani memandu dan menunggang motosikal dalam jarak yang jauh semata-mata mahu menyambut Aidilfitri di kampung halaman di, sini baru-baru ini.

Perkara itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam Op Hari Raya Aidilfitri 2022 yang diadakan bermula 29 April hingga 8 Mei lalu.

Pengarahnya, Adenan Md Isa berkata, tiada lesen memandu antara kesalahan tertinggi dikesan dalam operasi berkenaan yang melibatkan 425 saman dikeluarkan.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 311 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal termasuk salah seorang yang pulang dari Johor sebelum dia ditahan dalam sekatan jalan raya di Jambatan Pulau Pinang.

"Walaupun tiada lesen memandu yang sah namun lelaki berusia 20-an itu berani menunggang motosikal dengan jarak yang jauh tanpa mempedulikan kesalahan yang dilakukannya.

"Bermacam-macam alasan yang diberikan oleh mereka termasuk tidak sempat untuk pergi mengambil ujian lesen memandu namun kita tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan terhadap mereka," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Isnin.

Adenan berkata, dalam sekatan jalan raya yang dilakukan pihaknya juga mengesan seorang penunggang motosikal yang menggunakan lesen memandu palsu.

Jelasnya, lelaki berusia 20 tahun itu mengakui membeli lesen berkenaan dengan harga lebih RM1,000 pada tahun lalu dan kononnya lesen itu sah digunakan sehingga tahun 2026.

"Memang kita nampak seakan sama lesen memandu palsu yang digunakan lelaki terbabit namun pemeriksaan teliti yang dilakukan termasuk semakan di dalam sistem akhirnya mengesahkan perbuatan lelaki tidak bertanggungjawab itu.

"Siasatan lanjut masih lagi dijalankan bagi mengesan dari mana dia membeli lesen palsu terbabit dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan dokumen palsu," katanya.

Sementara itu, Adenan berkata, sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri 2022 dijalankan, pihaknya telah memeriksa 1,962 kenderaan dan daripada jumlah itu sebanyak 551 buah kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, selain tiada lesen memandu, pihaknya mengeluarkan 313 saman bagi kesalahan cukai jalan tamat tempoh, 225 saman kesalahan teknikal dan 153 saman atas kesalahan utama.

"Kesalahan utama merangkumi memotong Q secara berbahaya, tidak patuh lampu isyarat, guna lorong kecemasan dan gunakan telefon bimbit serta memandu di lorong kanan secara berterusan.

"Dalam operasi sama, kita juga melakukan penyamaran dalam bas ekspres dan mengeluarkan lima saman terhadap pemandu atas pelbagai kesalahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!