Rumah terbakar ketika beraya
SUNGAI PETANI - Kemeriahan Syawal bagi sebuah keluarga di sini bertukar suram apabila rumah sewa didiami mereka lima beranak musnah terbakar pada hari raya Aidilfitri pertama, Isnin lalu.
Mangsa, Nadratul Rahmi, 43, berkata, kebakaran berlaku pada kira-kira jam 2.30 petang itu menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan kini terpaksa bermalam di dewan orang ramai.
"Saya terkejut dapat panggilan rumah terbakar. Kami bergegas balik rumah selepas mengetahui kejadian itu.
"Bagaimanapun, disebabkan jarak perjalanan jauh, rumah yang kami sewa kira-kira tujuh tahun lalu itu hangus sekelip mata.
"Mujur semasa kejadian, anak sulung, Muhammad Nadzrul Fahmy, 17, sempat menyelamatkan diri setelah dibantu jiran yang lain," katanya.
Nadratul berkata, mereka lima beranak kini terpaksa menumpang berteduh di Dewan Belia Insan Sungai Pasir buat sementara waktu kerana masih belum dapat mencari rumah sewa baharu yang berpatutan.
"Kesemua perabot serta perkakasan rumah hangus tanpa sempat diselamatkan kerana api marak terlalu cepat.
"Sayu melihat keadaan rumah, masa tinggal berada dalam keadaan elok tetapi bila balik semula, semua dah tiada," katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh membantu melalui RHB Bank bernombor 1-52028-0023572-0 atas nama Nadratul Rahmi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!