Polis pukul pesalah trafik ditukar ke bahagian pentadbiran
GEORGETOWN - Pegawai dan anggota trafik yang terlibat dalam insiden mengasari pesalah trafik seperti dalam video tular telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran serta-merta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua pegawai dan anggota yang terlibat adalah dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.
Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat oleh pihaknya sendiri bagi menjalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian yang dilaporkan berlaku semalam di kawasan Bukit Mertajam kira-kira jam 1.15 pagi.
"Insiden tersebut turut dirakamkan menerusi kamera papan pemuka (dashcam) seorang pengguna jalan raya sebelum ia dimuat naik pemilik akaun Facebook ‘My Penang Hometown’.
"Kita akan mengenal pasti serta mendapatkan keterangan daripada pemilik akaun Facebook tersebut untuk siasatan lanjut selain mengesan mangsa yang terlibat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini pada Isnin.
Mohd Shuhaily berkata, kertas inkuiri polis juga telah dibuka dan selepas siasatan selesai pihaknya akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
Pada Isnin, tular satu video berdurasi 30 saat yang memaparkan anggota trafik mengasari seorang pesalah trafik.
Difahamkan, lelaki itu ditahan dalam Op Mabuk yang dijalankan menerusi Ops Selamat 18 di kawasan Bukit Mertajam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!