PDRM tegas banteras sindiket ah long

Kamarudin
Kamarudin
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa tegas dalam tindakannya untuk membanteras sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen atau 'ah long' yang terkenal dengan gaya ala samseng dan melakukan ugutan jenayah ketika memungut hutang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din menafikan dakwaan dibuat oleh seorang pengguna Facebook yang mengesyaki pihak polis melindungi segelintir individu atau pihak sindiket yang terlibat dalam kegiatan ah long berkenaan.

Menurutnya, modus operandi ah long terbabit adalah dengan menyasarkan individu yang tidak layak untuk membuat pinjaman menerusi institusi kewangan berlesen terutama mereka yang telah disenarai hitam dan diisytihar sebagai muflis.

"JSJK sentiasa membuat pemantauan dan risikan secara berterusan bagi mengesan serta mengenalpasti sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long yang bergerak aktif di seluruh negara.

"Sehingga 30 April sebanyak 324 kes yang dilaporkan telah disiasat oleh JSJK melibatkan jumlah kerugian RM2,467,404 sejak Januari sehingga April manakala seramai 543 ah long ditangkap dan 159 kes telah dituduh di Mahkamah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, penjenayah berkenaan akan menggunakan kekerasan dan melakukan ugutan jenayah untuk mengintimidasi peminjam yang gagal untuk membayar hutang mereka dalam tempoh ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak berurusan atau membuat sebarang pinjaman daripada ah long walaupun terdesak kerana ia bakal mendatangkan lebih banyak masalah daripada penyelesaian.

"Orang ramai diminta memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak polis untuk menyalurkan maklumat aktiviti jenayah komersial melalui saluran CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 / 03-26101599 atau WhatsApp di talian 013-2111222.

"PDRM tidak akan berkompromi dan sentiasa mengambil tindakan tegas terhadap ah long berkenaan dalam menghadapkan mereka ke muka pengadilan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!