Mayat warga Thailand ditemui tersangkut celah batu
GOMBAK - Mayat seorang lelaki warga Thailand ditemui terapung dan tersangkut di celah batu di Sungai Batu 13, Kilometer (KM) 24, Jalan Lama Gombak di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihak polis menerima laporan berkenaan penemuan mayat lelaki berusia 31 tahun berkenaan pada jam 3.02 petang.
Menurutnya, identiti mangsa disahkan oleh adiknya yang tinggal bersama keluarga mereka di sebuah rumah yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa ditemui.
"Hasil pemeriksaan fizikal pada badan mangsa terdapat kesan lebam pada dahi sebelah kanan, lebam di bahagian luaran kulit kelopak mata kiri dan kesan calar di bahagian belakang badan.
"Tiada sebarang kesan kecederaan luka di tubuh badan si mati. Siasatan setakat ini, dipercayai mangsa telah terjatuh atau tergelincir ke dalam sungai berdasarkan luka-luka yang dialami," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa kali terakhir ditemui oleh ahli keluarganya sekitar jam 2 pagi pada Isnin selepas makan dan bersiap untuk tidur di kediaman mereka.
Katanya, siasatan yang dijalankan Unit Forensik di rumah tersebut mendapati tiada sebarang tanda-tanda yang mencurigakan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk tujuan bedah siasat. Sehingga kini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga hasil bedah siasat diketahui," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!