MADA baiki segera runtuhan ban

Keadaan runtuhan ban kanan terusan tengah yang berlaku di Struktur Alor Limpah, Sifon Lengkuas Mada sekitar jam 12.15 tengah hari, Isnin.
Keadaan runtuhan ban kanan terusan tengah yang berlaku di Struktur Alor Limpah, Sifon Lengkuas Mada sekitar jam 12.15 tengah hari, Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melaksanakan tindakan kecemasan segera berikutan kejadian runtuhan ban kanan terusan tengah yang berlaku di Struktur Alor Limpah, Sifon Lengkuas MADA sekitar jam 12.15 tengah hari, Isnin.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, kejadian runtuhan ban itu disebabkan turunan hujan yang lebat pada 8 Mei 2022 lalu di kawasan tadahan dan di dataran menyebabkan aliran tidak terkawal dan peningkatan paras air dari tadahan Sungai Padang Terap.

Beliau menjelaskan turunan hujan ini menyebabkan kenaikan paras air hulu dan hilir di Struktur Alator Pelubang, yang mana paras tersebut telah melebihi paras limpah di Alor Limpah Lengkuas Sifon pada paras 8.01 meter (m).

"Situasi terbabit menyebabkan kegagalan struktur alur limpah di Sifon Lengkuas.

"Kejadian ini dijangka akan memberi kesan kepada penggunaan bekalan air terawat penduduk sekitar," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, MADA bersama Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah melakukan tindakan segera dengan menjalankan kerja-kerja pembinaan sekatan sementara di dalam Sungai Bukit Pinang bagi mengawal paras air di dalam Terusan Tengah supaya operasi loji rawatan air SADA tidak terjejas.

Ahmad Tarmizi memberitahu, kerja-kerja pembaikan ban sementara akan dijalankan pada malam Isnin oleh kontraktor yang dilantik oleh pihak MADA dalam tempoh segera.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan 75,000 akaun pengguna SADA di Kota Setar dan Pokok Sena dijangka terjejas akibat ban MADA dan terusan tengah di Sungai Santap, Pokok Sena, dekat sini, pecah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!