Cuai, penting diri antara punca kemalangan sepanjang Op Selamat 18

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kecuaian antara faktor utama menjadi punca kemalangan yang dicatatkan sepanjang pelaksanaan Op Selamat 18 yang berakhir pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, cuai dan mengabaikan aspek pemanduan yang selamat sekali gus mengakibatkan risiko berlakunya kemalangan.

"Berdasarkan kajian, faktor kecuaian antara punca utama berlakunya kemalangan selain tidak fokus terhadap pemanduan.

"Antaranya lebih mementingkan untuk menggunakan telefon ketika memandu sekali gus mengakibatkan fokus pemanduan hilang dan risiko berlakunya kemalangan tinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Katanya, hari terakhir Op Selamat 18 mencatatkan 319 kemalangan di Selangor.

"Berdasarkan statistik semasa, jumlah kemalangan untuk keseluruhan pelaksanaan Op Selamat mencatatkan sebanyak 21 kematian dan jumlah keseluruhan kemalangan yang dicatatkan adalah sebanyak 3,343 kes.

"Segala jumlah dan angka keseluruhan sama ada terdapat peningkatan atau penurunan kes akan dimaklumkan kemudian," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Katanya, pengguna jalan raya perlu mematuhi segala peraturan yang ditetapkan sekaligus mengelakkan kemalangan berlaku.

"Peraturan jalan raya telah ditetapkan, menjadi tanggungjawab pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhinya.

"Jangan kita bersikap sambil lewa sehingga mengabaikan aspek pemanduan berhemah sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku," katanya.

Sementara itu, sebanyak 1,411 kes dicatatkan pada hari terakhir Op Selamat 18 menjadikan jumlah keseluruhan kemalangan maut sebanyak 15,947 kes kemalangan dicatatkan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, Selangor mencatatkan negeri paling banyak mencatatkan kemalangan maut setakat ini.

"Jumlah kemalangan maut harian bagi Selangor adalah sebanyak 319 kes manakala jumlah kemalangan maut terkumpul pula mencatatkan sebanyak 3,343 kes.

"Statistik ini diikuti negeri Johor iaitu sebanyak 2,297 kes, Perak sebanyak 1,582 kes, Kuala Lumpur sebanyak 1,370 kes dan Pulau Pinang sebanyak 1,310 kes," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!