Bukan soal kalah menang, tetapi pilihan rakyat
PERTEMUAN dua pemimpin politik heavy- weight atas pentas Debat Perdana pada Khamis ini memperlihatkan lembaran hujahan politik baharu ke arah Malaysia yang lebih baik.
Penampilan khas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi penanda aras membawa ekosistem politik yang lebih matang dan gentleman.
Bukan hanya berakhir dengan mereka berdua sahaja, tetapi Malaysia memerlukan lebih banyak perbincangan, fakta sebenar dan pembentangan idea untuk santapan minda kepada rakyat.
Debat di negara ini sangat asing tetapi tidak bagi negara jiran, misalnya Indonesia yang mengadakan debat bagi memilih presiden republik berkenaan yang menampilkan Joko Widodo dan Prabowo Subianto.
Amerika Syarikat juga menyaksikan perkara sama, apabila Donald Trump berdebat dengan Joe Biden ketika pemilihan presiden bagi negara tersebut.
Sebenarnya debat bukan untuk mencari siapa menang atau kalah, tetapi rakyat akan menilai kebolehan pemimpin mereka untuk dipilih dalam pilihan raya atau pemilihan parti.
Memang ini budaya baharu, hujah dan idea inilah akan menjadi asas mencorak masa depan negara kita walaupun ia bukanlah satu neraca ukuran sebenar, tetapi sekurang-kurangnya sebagai angkubah untuk memilih.
Sinar Harian juga pernah menganjurkan pertemuan empat mata antara bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Rahim dalam isu Tabung Haji.
Sebulan sekali, program dinamakan Berani Semuka diteruskan akhbar ini yang akhirnya mereka menyerahkan kepada rakyat untuk menilai.
Sesetengah pendapat mengatakan debat akan membawa perpecahan, tetapi lihat dengan lensa lebih luas, kita perlu mengetepikan emosi agar proses politik matang dapat diketengahkan.
Sekali lagi selepas beberapa perbincangan dilakukan antara empat media utama dan wakil daripada pasukan Najib dan Anwar, debat perdana ini menjadi realiti. Dewan Tunku Abdul Rahman bakal menjadi saksi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!