Tindakan ibu bapa ancam keselamatan orang awam
SHAH ALAM - Ibu bapa yang membenarkan anak atau remaja bawah umur memandu kenderaan tanpa lesen wajar dikenakan hukuman kerana telah melanggar peraturan jalan raya.
Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Jabatan Kesihatan Komuniti, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Kulanthayan KC Mani berkata, budaya membenarkan golongan itu memandu merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab malah turut mengancam keselamatan orang awam.
“Sekiranya berlaku kemalangan yang melibatkan kecederaan atau kematian, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemandu namun jika pemandu adalah remaja bawah umur, ibu bapa yang membenarkan anak tersebut memandu tanpa lesen harus dihadapkan ke muka pengadilan kerana telah ‘menghalalkan’ pemanduan tersebut.
“Namun sekiranya ibu bapa tidak tahu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menentukan sama ada perlu melibatkan pertuduhan tambahan terhadap ibu bapa ataupun tidak,” katanya pada Isnin.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang pemotong rumput maut, manakala seorang lagi parah selepas dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu remaja berusia 16 tahun ketika berehat di bahu jalan di Jalan Pintasan Semeling berhampiran Taman Malinja, Bedong.
Mengulas lanjut, Kulanthayan berkata, pertuduhan mengikut undang-undang bergantung kepada siasatan lanjut PDRM terhadap kes itu, namun sekiranya didapati ibu bapa membudayakan pemanduan tanpa lesen, maka mereka harus bertanggungjawab.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak membenarkan anak-anak di bawah umur memandu kenderaan walaupun dengan izin kerana khuatir kejadian tidak diingini berlaku.
“Dengan izin atau tanpa izin, sudah menjadi kesalahan kalau mereka membenarkan dan budaya itu amat membimbangkan.
“Kita perlu banteras budaya tersebut, kalau tidak dibanteras, ramai ibu bapa yang beranggapan boleh beri kemudahan kepada anak. Tidak kisah jarak yang mereka pandu, ia tetap mempunyai risiko membahayakan diri sendiri dan orang lain,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!