Haaland kini selangkah untuk sertai City

Erling Haaland
Erling Haaland
A
A
A

PENYERANG sensasi Borussia Dortmund, Erling Haaland dijangka menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester City selepas kelab tersebut bersetuju untuk mengaktifkan klausa pelepasan RM347 juta pemain itu.

Sky Germany yang memiliki hak ke atas Bundesliga melaporkan, pemain kelahiran Norway itu sudah menyatakan hasratnya berhubung perpindahan tersebut kepada Dortmund baru-baru ini.

Malah menurut laporan tersebut, beberapa sumber yang enggan mendedahkan identiti mereka turut menyatakan perjanjian itu akan dimuktamadkan dalam masa beberapa hari lagi.

Bagaimanapun setakat ini, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Dortmund atau Manchester City berhubung perpindahan tersebut.

Difahamkan, duit hasil jualan itu akan digunakan Dortmund bagi mendapatkan penyerang Salzburg, Karim Adeyemi yang dilihat sebagai pengganti terbaik bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Haaland.

Sebelum ini pada Isnin, Pengarah Sukan Dortmund, Sebastian Kehl berkata, kelab itu mahu menjelaskan isu berkaitan Haaland pada minggu ini.

“Apa keputusan mengenai perpindahan Haaland akan cuba diselesaikan sebelum hujung minggu ini.

“Malah saya juga tidak terkejut sekiranya Haaland bakal berpindah ke kelab lain pada penghujung musim ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!