Harga sayur naik mendadak di Melaka

Roslan (kiri) tidak mahu mengambil risiko menjual sayur sawi bunga yang meningkat mendadak di Pasar Awam Bachang, Melaka pada Selasa.
Roslan (kiri) tidak mahu mengambil risiko menjual sayur sawi bunga yang meningkat mendadak di Pasar Awam Bachang, Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Harga sayur-sayuran di Melaka naik mendadak selepas cuti perayaan Hari Raya Aidilfitiri.

Peniaga, Kalsom Kassim, 60, berkata, beberapa faktor yang menyebabkan harga sayur meningkat termasuk pemborong atau pembekal yang bercuti panjang selain faktor cuaca.

Menurutnya, kenaikan harga sayur hampir mencecah 50 peratus terutama sawi bunga yang terpaksa dijual pada harga RM10 sekilogram selepas bekalan didakwa berkurangan sejak Jumaat lalu.

Kalsom
Kalsom

"Sejak minggu lalu terpaksa menjual sayur sawi bunga pada harga RM10 sekilogram, berbanding sebelum ini hanya RM6.

"Bekalan sayur lain seperti bayam dan kangkung juga berkurangan sedangkan permintaan tinggi," katanya ketika ditemui di Pasar Awam di Banchang di sini pada Selasa.

Roslan Hassan, 55, juga mengakui mengalami situasi sama dan kerana itu tidak sanggup mengambil risiko menjual sayur sawi bunga yang agak mahal.

Ghazali
Ghazali

"Harga sayur selepas raya bukan naik sedikit tapi mencecah RM4 sekilogram berbanding harga biasa.

"Pembekal maklumkan bekalan sayur daun berkurangan punca kerana cuaca hujan maka tanaman mereka tidak menjadi," katanya.

Dalam pada itu peniaga ayam, Ghazali Abu Bakar, 48, berkata, dia tidak menolak akan berlaku kenaikan harga caj potong ayam daripada 60 sen kepada 80 sen dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun menurutnya, peniaga ayam akan mengikut harga kawalan yang telah ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90 sekilogram (kg).

Hamzah
Hamzah

"Kita pun berdepan kenaikan kos jadi mungkin terpaksa naikan upah potong ayam sebanyak 20 sen untuk mendapatkan sedikit keuntungan.

"Ada tempat dah naikan caj potong ayam kepada RM1, tapi mungkin kita naikan caj sedikit sahaja agar tak bebankan pengguna," katanya.

Hamzah Osman, 57, berkata, mereka bersiap sedia sekiranya perlu menaikan caj berkenaan memandangkan pengeluar berdepan dengan harga dedak yang semakin mahal.

Bagaimanapun dia berharap kenaikan itu tidaklah sehingga mencecah RM10 atau pun lebih dari itu.

"Apa pun penternak dan kementerian berkenaan perlu berbincang bersama bagi memastikan harga ayam sekarang terus kekal RM8.90," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) negeri, Norena Jaafar berkata, pihaknya tiada halangan kepada peniaga untuk menaikan caj berkenaan kerana ia merupakan perkhidmatan tambahan yang ditawarkan oleh mereka kepada pengguna.

"Terpulang kepada pengguna sama ada hendak mengguna pakai perkhidmatan yang ditawarkan atau sebaliknya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!