Perebutan kejuaraan EPL masih belum berakhir: Klopp
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp percaya perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) belum berakhir dan pasukannya masih berpeluang untuk merangkul kejuaraan tersebut musim ini.
Justeru Klopp berharap semua pemain The Reds memberi komitmen 100 peratus dalam baki perlawanan misi untuk mencatat sejarah sebagai satu-satunya pasukan yang berjaya memenangi empat trofi semusim.
“Kami akan cuba sedaya upaya untuk merangkul trofi liga musim ini kerana kami masih berpeluang untuk menjuarainya.
“Dengan baki tiga perlawanan yang ada, apa-apa boleh terjadi dan kami masih percaya mampu untuk melakukannya.
"Tumpuan kami ketika ini adalah bagaimana mahu memenangi perlawanan. Ada masa kita akan dikecewakan tetapi perlu bangkit daripada situasi itu," katanya.
Sebelum ini, The Reds mensia-siakan peluang untuk terus mengekori rapat Manchester City apabila diikat 1-1 oleh Tottenham Hotspur pada perlawanan yang berlangsung di Anfield pada Ahad.
Kekalahan tersebut menyaksikan, City kini berjaya melebarkan jurang di puncak liga kepada tiga mata dan menambah perbezaan jaringan kepada empat gol berbanding The Reds selepas membelasah Newcastle 5-0 Ahad lalu.
Dalam pada itu, Klopp tidak bersetuju dengan pandangan pengendali City, Pep Guardiola yang mengatakan bahawa semua pihak mahu melihat Liverpool memenangi EPL pada musim ini.
Menurut Klopp, beliau merasakan bahawa Guardiola membuat kenyataan itu kerana dipengaruhi oleh emosi selepas perlawanan.
"Saya tidak tahu sama ada negara ini menyokong kami. Ia bukan satu perasaan yang saya dapat apabila kami pergi ke tempat lain.
"Saya tinggal di Liverpool. Di sini ramai orang mahu kami memenangi liga perdana dan itu sudah pasti. Tapi mungkin hanya 50 peratus saja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!