'Jangan ganggu memerang licin'

Memerang licin yang kelihatan jinak sehingga mendapat perhatian orang ramai yang sedang bersenam di taman rekreasi Bukit Padang Kota Kinabalu.- Foto tular
Memerang licin yang kelihatan jinak sehingga mendapat perhatian orang ramai yang sedang bersenam di taman rekreasi Bukit Padang Kota Kinabalu.- Foto tular
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menasihatkan orang ramai yang terserempak dengan memerang licin di sekitar taman rekreasi Bukit Padang Kota Kinabalu supaya tidak mengganggu haiwan mamalia itu.

Ia susulan tular satu video durasi dua minit 33 saat yang menunjukkan seekor memerang licin yang kelihatan jinak mendapat perhatian orang ramai yang berada di kawasan berkenaan.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, haiwan yang dirakam dalam video itu ialah memerang licin dan dilindungi di bawah Jadual 2, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

"Populasi memerang di Sabah setakat ini tidak diketahui namun memang terdapat ancaman bagi spesies ini iaitu kekurangan habitat dan sumber makanan serta pemburuan haram.

"Biasanya dijumpai di kawasan sungai atau tasik. Haiwan ini penting sebagai penunjuk untuk habitat sungai atau tasik yang sihat," ujarnya.

Sehubungan itu, Augustine berkata, sekiranya bertemu dengan memerang seperti itu orang ramai dinasihatkan untuk tidak memberikan makanan, membelai atau mengganggunya.

"Ini bagi mengelakkan daripada sebarang penularan penyakit dan untuk mengekalkan kesihatan serta kebajikan memerang tersebut.

"Disebabkan ia bersifat territorial (mempertahankan kawasan keliarannya), ia mungkin menyerang manusia. Haiwan ini mempunyai gigi taring yang tajam dan biasanya ia memakan haiwan akuatik seperti ikan, ketam, katak dan lain-lain," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!