MBI mohon maaf sampah tak dikutip
IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengemukakan permohonan maaf kepada warga Bandar raya Ipoh susulan kelewatan kutipan sampah di beberapa kawasan di dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya sedia maklum berhubung gangguan kutipan sampah khususnya di kawasan Manjoi, Meru Raya, Puncak Jelapang dan Klebang berikutan pihak kontraktor Majuperak Utilities Management Sdn Bhd (MUMSB) menghadapi kekangan pekerja sejak bulan April 2022 kerana ramai pekerja berhenti dan memilih untuk bekerja dalam sektor industri pembinaan.
Menurutnya, disebabkan masalah itu, MBI telah mengambil tindakan segera bagi mengatasi gangguan berkenaan antaranya termasuklah melantik kontraktor sementara kutipan sampah bagi membantu MUMSB dan mengambil pekerja tambahan bagi kerja-kerja kutipan sampah.
"Anggota pembersihan MBI juga membantu kerja-kerja kutipan sampah selain turut membeli empat lori kutipan sampah baru yang dijangkakan akan tiba pada bulan Jun depan.
"MBI memohon maaf atas ketidakselesaan yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat kesan daripada kelewatan kutipan sampah ini. Majlis juga merakamkan ucapan terima kasih di atas kerjasama baik yang diberikan oleh wargakota Ipoh dalam menyalurkan maklumat serta bersama-sama MBI dalam mengatasi isu gangguan kutipan sampah," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Rumaizi berkata, pihak MUMSB kini sedang berusaha untuk mencari pekerja kutipan sampah gantian dengan gaji harian setinggi RM80 sehari.
Katanya, bagaimanapun masih tiada yang mahu menerima tawaran tersebut kerana industri pembinaan menawarkan kadar harga gaji harian yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan gangguan kutipan sampah itu juga turut berpunca daripada peningkatan sampah sebanyak tiga kali ganda daripada biasa disebabkan hari raya dan penganjuran rumah terbuka.
Menurutnya, pemulihan gangguan kutipan sampah itu telah beransur-ansur pulih dan dijangkakan 90 peratus operasi kutipan sampah di kawasan Manjoi, Meru, Puncak Jelapang dan Klebang kembali seperti biasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!