Pelajar Tingkatan 4 meninggal dunia ketika latihan merentas desa

Lokasi latihan merentas desa dekat Kampung Pengkalan Berangan, di Marang yang dilalui mangsa sebelum pengsan dan meninggal dunia. (Gambar kecil: Mohd Zain)
Lokasi latihan merentas desa dekat Kampung Pengkalan Berangan, di Marang yang dilalui mangsa sebelum pengsan dan meninggal dunia. (Gambar kecil: Mohd Zain)
A
A
A

MARANG - [DIKEMAS KINI] Seorang pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan meninggal dunia ketika menjalani latihan merentas desa di persimpangan Kampung Asing, di sini, pada Selasa.

Mangsa, Aman Basri Muhd Rohaizi, 16, disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas sejurus selepas dibawa ke Klinik Pengkalan Berangan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, sebelum kejadian, mangsa menjalani latihan penyesuaian 'track' merentas desa pada jam 8.34 pagi sebelum disedari pengsan oleh guru bertugas.

"Guru berkenaan bersama rakan setugas di tempat kejadian telah membawa pelajar tersebut ke Klinik Pengkalan Berangan untuk menerima rawatan.

"Bagaimanapun doktor bertugas mengesahkan pelajar berkenaan telah meninggal dunia pada jam 9.05 pagi," katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pelajar berkenaan dikatakan, tersadung kaki secara tiba-tiba ketika latihan menyebabkan mangsa terjatuh.

"Beberapa individu di lokasi kejadian cuba membantu mangsa dengan mengangkat dan memberikan bantuan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

"Selepas beberapa minit, mangsa dikatakan mengalami masalah pernafasan dengan bernafas secara perlahan sebelum dikejarkan ke klinik berdekatan," katanya.

Katanya, bapa mangsa telah berpuashati dengan punca kematian dan reda dengan apa yang berlaku.

Menurut Mohd Zain, pemeriksaan fizikal mendapati terdapat luka pada bahagian atas kening sebelah kanan, calar di bawah dagu sebelah kiri dan calar di belakang tangan sebelah kiri dipercayai berlaku semasa mangsa terjatuh.

"Hasil pemeriksaan ke atas fizikal mangsa mendapati tiada unsur jenayah dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!