MBPJ mula kerja baik pulih kubur rosak, minta kesahan waris

Laporan Sinar Harian pada Jumaat berkenaan keluhan waris melihat kubur ahli keluarga yang rosak akibat hakisan tanah.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat berkenaan keluhan waris melihat kubur ahli keluarga yang rosak akibat hakisan tanah.
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memulakan kerja-kerja baik pulih kawasan hakisan tanah dan tanah mendap di kawasan Tanah Perkuburan Islam MBPJ Kampung Tunku pada Selasa.

MBPJ menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya menjalankan kerja-kerja pembaikan sementara iaitu menambak tanah di kawasan terjejas, pembersihan sisa binaan dan saliran serta memasang semula kepuk yang rosak.

Selain itu, MBPJ turut menaiktaraf kawasan kubur tersebut melibatkan kerja-kerja pembinaan pejalan kaki, pembaikan pagar konkrit dan sebagainya yang akan dibuat secara sebut harga melalui lantikan kontraktor.

"Justeru, pihak Majlis meminta kerjasama pihak waris untuk hadir ke Pejabat Tapak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunku, di sini bermula Rabu (11 Mei) hingga 17 Mei depan pada jam 8 pagi hingga 4 petang bagi pengecaman dan pengesahan tapak.

"Sebarang pertanyaan boleh hubungi Jabatan Pembangunan Masyarakat (Perkhidmatan Perkuburan Dan Krematorium) MBPJ, Mat Afindi Mohamad di talian 03-78737895 atau 019-3842997," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tentang keluhan waris yang melihat kubur ahli keluarga mereka rosak di Tanah Perkuburan Islam MBPJ Kampung Tunku, di sini mendap dan terbelah akibat hakisan tanah.

Hasil tinjauan turut mendapati lebih 10 kubur rosak, beberapa kubur terbelah malah ada sebahagian batu nisannya jatuh dalam rekahan tanah yang didakwa berlaku ekoran hujan lebat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!