Lima sekeluarga nyaris maut kereta terbakar di Genting Highlands
KUANTAN - Lima sekeluarga terselamat selepas kereta dinaiki terbakar di Kilometer 2.9, jalan naik ke Genting Highlands pada Isnin.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, bomba menerima laporan berhubung kejadian jam 1.44 tengah hari sebelum lima anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands ke lokasi untuk bantuan.
"Ketika anggota tiba di lokasi mendapati sebuah kereta jenis Hyundai Elantra terbakar dan menggelongsor turun kira-kira 100 meter dalam keadaan api sedang marak.
"Operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos bantu mula dibantu hos dari Unit Kebakaran Genting Highlands," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Zulfadli berkata, kebakaran berjaya dipadamkan namun kereta tersebut musnah hampir 80 peratus.
"Pasangan suami isteri dan tiga anak yang menaiki kereta tersebut selamat dan punca kebakaran masih dalam siasatan," ujarnya.
Video kejadian tersebut sebelum ini tular selepas detik mencemaskan itu sempat dirakam seorang netizen dipercayai berada di atas kereta kabel sebelum dimuat naik melalui aplikasi TikTok.
Berdasarkan rakaman video itu, beberapa pemilik kenderaan turut cemas selepas kereta terbakar itu mengundur ke belakang lalu merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Sebuah kereta lain nyaris dilanggar namun pemandunya sempat mengelak dan kebakaran itu tidak melibatkan kenderaan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!