Skuad futsal mampu lakar kemenangan ke atas Thailand

Hamidin (tengah) memberi kata-kata semangat kepada skuad futsal wanita. - Foto Facebook FAM.
Hamidin (tengah) memberi kata-kata semangat kepada skuad futsal wanita. - Foto Facebook FAM.
A
A
A

SKUAD futsal lelaki dan wanita negara mampu melakar kejutan dalam aksi pembuka tirai acara futsal di Sukan SEA Hanoi menentang pasukan gergasi Asia Tenggara, Thailand bermula esok.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, biarpun mengakui kekuatan Thailand, skuad futsal negara dilihat mampu merealisasikan hasrat menundukkan pasukan lawan itu berbekalkan semangat berpasukan yang tinggi.

"Jika kita mahukan kemenangan, jurulatih dan pemain, masing-masing perlu memainkan peranan dan bekerjasama untuk menang.

"Persefahaman dan ikatan sebagai satu pasukan perlu kuat, kena satu hati untuk kita menempa kejayaan ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan FAM pada Selasa.

Hamidin pada masa sama turut menggesa atlet futsal negara supaya mengibaratkan setiap perlawanan sebagai perlawanan terakhir buat pasukan dan mereka perlu berjuang dengan semangat yang tinggi.

"Dalam setiap kejayaan ada pengorbanan, iaitu pergorbanan meninggalkan keluarga, insan tersayang dan sebagainya untuk kita mencapai misi kemenangan ini. Maka jadikan ia sebagai bukan misi yang mustahil,” katanya.

Skuad futsal lelaki negara bakal membuka tirai saingan berdepan Thailand esok, diikuti aksi berikutnya bertemu Vietnam (14 Mei), Indonesia (16 Mei) dan Myanmar (20 Mei).

Skuad futsal wanita pula akan memulakan kempen dengan menentang Thailand pada 15 Mei, diikuti aksi kedua bertemu tuan rumah Vietnam (17 Mei) dan perlawanan terakhir berdepan Myanmar (19 Mei).

Semua perlawanan berlangsung di Stadium Tertutup Ha Nam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!