Padah tampar remaja OKU, penganggur didenda RM1,000
TAIPING - Seorang penganggur didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Taiping pada Selasa selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang remaja yang juga orang kurang upaya (OKU) Sabtu lalu.
Tertuduh, Mohd Hidayat Hamzah, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurfarah Syahidah Mohd Noh.
Lelaki itu turut berdepan hukuman penjara selama sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Mohd Hidayat dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada remaja lelaki berusia 13 tahun itu di Taman Tasik Taiping, kira-kira jam 2.15 pagi pada 7 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nor Amalina Harun manakala tertuduh di wakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Wei Jun.
Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan polis menahan seorang penganggur dipercayai terlibat dalam insiden mengasari remaja lelaki yang merupakan OKU lembam.
Tangkapan lelaki itu dibuat susulan tular di laman sosial rakaman video suspek menampar hingga mangsa terduduk menangis ketakutan sambil memegang basikal.
Kejadian itu terjadi apabila suspek ingin meminjam basikal milik mangsa ketika mangsa beriadah dengan menunggang sendirian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!